KUALA LUMPUR – Kos perbelanjaan Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani Bersama Perdana Menteri di Putrajaya jauh lebih mahal jika dibandingkan dengan sambutan di negeri-negeri.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Mohd Razlan Rafii berkata, sambutan Aidilfitri di Seri Perdana lazimnya membabitkan jemputan puluhan ribu orang dan persiapan di Kediaman Rasmi Perdana Menteri boleh mencecah jutaan ringgit .
“Perbelanjaan buat di Putrajaya jauh lebih mahal dibanding dengan di negeri-negeri. Jemputan mencecah puluhan ribu dan persiapan di Seri Perdana boleh menelan sehingga jutaan ringgit, ini adalah kelaziman, dan tidak salah sekira wang itu dapat diagihkan kepada negeri-negeri untuk jamuan rakyat setempat, lebih manfaat, kalau di Putrajaya itu tetamunya ramai rakyat luar negara yang bekerja di Malaysia.
“Sanusi patut berbangga dan berterima kasih kepada Kerajaan Pusat memeriahkan Aidilfitri di Negeri Kedah, memberi makan dan minum serta program raya untuk dinikmati rakyat Kedah, tapi apa yang dibangkitkan oleh Menteri Besar Kedah ini bukan satu kejutan beliau memang suka dengan kontroversi dan sanggup menghasut,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Razlan yang juga Setiausaha Politik Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, Sanusi tidak sepatutnya menghasut rakyat kononnya Rumah Terbuka Kerajaan Madani yang dirancang dibuat di Kedah sebagai pembaziran.
“Menjadi lumrah manusia, tiada siapa yang boleh memuaskan hati semua pihak, diberi satu yang lain tidak merasa, yang ada secupak, tidak akan boleh diberi segantang.
Yang berpengaruh tidak ada hati budi, terus dengan menangguk di air yang keruh demi membakar hati yang tidak terlibat. Akhirnya sikap dengki, iri hati, timbul walaupun bukan ada kaitan.
“Isu terbaru, Rumah Terbuka Kerajaan Madani yang dirancang buat di Kedah, dijemput rakyat setempat ada pemimpin yang membakar isu pembaziran, kesian kepada rakyat, kebiasaan mereka dijamu, kali ini, Pemimpin PAS seperti biasa, merah mata, terasa terancam, kononnya ianya pembaziran.
“Perkataan pembaziran sengaja dibangkitkan, hakikatnya, tidak mahu kerajaan melayani rakyat sebaiknya, kenduri rakyat ini perkara biasa, namun apa pemimpin seperi PAS dan Perikatan Nasional (PN) ini ambil peduli tentang meraikan rakyat, mereka lebih rela rakyat dibiarkan memakan hati daripada mendapat layanan Kerajaan Pusat,” bidas beliau.
Kata Razlan lagi, sudah pastinya rakyat di Kedah dan sekeliling akan merasai kemeriahan hari raya diraikan dengan pelbagai program yang dirancang.
“Apabila Sanusi berkata sepatutnya Rumah Terbuka dibuat di Putrajaya, apa salah bila buat di negeri lain dengan perbelanjaan yang jimat sekiranya dibanding dengan Putrajaya.
“Musim hari raya kali ini jauh beza dengan tahun sebelum ini, rakyat disekat dengan pelbagai SOP dek kerana Covid-19, tahun ini semua program boleh dilaksanakan tanpa ada sekatan dan SOP. Jadi, kita sebagai rakyat sepatutnya tidak termakan dengan hasutan politik yang merugikan ini.
“Sambutlah Aidilfitri ini dengan penuh kebebasan dan keceriaan, lupakan kisah silam raya dengan SOP dan sekatan. Jangan cemari bulan Syawal ini dengan politik sempit dan menghasut seperti mereka,” ujarnya.
Terdahulu, Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani Bersama Perdana Menteri di enam negeri dianggap sebagai program kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) dan tidak wajar diadakan.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, ini kerana program terbabit melibatkan kos yang tinggi sedangkan kerajaan Persekutuan sebelum ini menguar-uarkan supaya langkah penjimatan dibuat oleh semua pihak.
Katanya, seharusnya jamuan rumah terbuka Aidilfitri diadakan di satu saja lokasi iaitu di Seri Perdana atau di sekitar Putrajaya seperti kelaziman sebelum ini.