KUALA LUMPUR- PKR memandang serius dakwaan yang tular mutakhir ini yang cuba mengaitkan kepimpinan parti dengan tuduhan menerima sejumlah wang bagi tujuan menyelesaikan urusan berkaitan kepentingan tertentu, termasuk dakwaan melibatkan elemen ‘mafia korporat’.
Setiausaha Agung PKR Datuk Dr Fuziah Salleh menegaskan, tuduhan sedemikian amat mudah dibuat khususnya oleh pihak yang terdesak untuk melepaskan diri daripada kesalahan atau salah laku sendiri.
Menurut beliau, sebarang dakwaan tanpa bukti kukuh tidak wajar dilayan sebagai fakta, apatah lagi dijadikan bahan untuk mencemarkan reputasi individu atau parti.
“PKR tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang terus menyebarkan fitnah atau tohmahan tanpa asas sahih,” katanya dalam kenyataan.
Jelas Fuziah lagi, tindakan undang-undang akan dipertimbangkan dan diambil sewajarnya, sama ada terhadap individu di dalam mahupun di luar parti.
Beliau turut menegaskan, PKR kekal komited mempertahankan integriti kepimpinan serta memastikan sebarang tuduhan ditangani melalui saluran sah dan berlandaskan fakta, bukannya persepsi atau agenda tertentu.
Justeru katanya, semua pihak diseru agar lebih bertanggungjawab dalam menyampaikan maklumat serta mengelakkan penyebaran dakwaan tidak disahkan yang boleh mengelirukan masyarakat dan menjejaskan kestabilan politik negara.



