Pembangkang tuntut SPRM, polis jalankan siasatan segera, tanpa selindung kes ‘mafia korporat’

KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjalankan siasatan segera yang menyeluruh, bebas dan telus tanpa selindung bagi memastikan kebenaran ditegakkan tanpa campur tangan daripada mana-mana pihak atau individu.

Desakan ini berhubung dakwaan seorang ahli perniagaan berhubung pembayaran sebanyak RM9.5 juta kepada seorang Ahli Parlimen daripada PKR berkait usaha “menyelesaikan” isu rangkaian yang digelar sebagai “mafia korporat”.

Menurut Setiausaha Agung PN Datuk Seri Takiyuddin Hassan, dakwaan ini amat membimbangkan kerana ia bukan sahaja melibatkan jumlah wang yang besar, tetapi turut menimbulkan persoalan serius berkaitan tadbir urus korporat, penyalahgunaan pengaruh politik serta integriti institusi negara.

Tegasnya, lebih membimbangkan, menurut dakwaan tersebut wang berkenaan diberikan untuk tujuan mendapatkan campur tangan politik dalam urusan korporat.

“Sekiranya benar, ia merupakan pelanggaran serius terhadap prinsip tadbir urus baik dan integriti yang selama ini dilaungkan oleh kerajaan.

“Ia juga berpotensi mencetuskan persepsi bahawa pengaruh politik digunakan untuk campur tangan dalam urusan korporat serta proses penguatkuasaan undang-undang.

“Justeru, PN juga menggesa kerajaan, khususnya kepimpinan PKR, supaya memberikan penjelasan segera kepada rakyat, selain bekerjasama penuh dalam siasatan yang dijalankan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Tegas Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu itu, kegagalan menangani dakwaan ini secara terbuka dan berintegriti hanya akan menjejaskan keyakinan rakyat terhadap komitmen kerajaan dalam memerangi rasuah serta salah guna kuasa.

Dalam pada itu kata beliau, PN juga mendesak supaya identiti individu terlibat hanya ditentukan melalui proses siasatan yang sah bagi menghindari spekulasi yang boleh menjejaskan reputasi mana-mana pihak yang tidak bersalah.

“PN akan terus memantau perkembangan kes ini dan tidak akan teragak-agak untuk membawanya ke Parlimen bagi memastikan prinsip akauntabiliti dan integriti dalam pentadbiran negara dipertahankan.

“Integriti bukan sekadar slogan dan kata-kata muluk pemanis bicara, tetapi lebih daripada itu, ia menuntut pembuktian melalui ketelusan serta akauntabiliti yang konsisten dan berani,” ujar Takiyuddin.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat