Kerajaan Sabah perlu mempunyai pelan khas hadapi kesan perang AS-Iran – Salleh

KOTA KINABALU, – Bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berpandangan kerajaan negeri perlu menyediakan pelan khas bagi menghadapi kemungkinan kesan ekonomi daripada konflik antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran yang semakin memuncak di Timur Tengah.

Beliau berkata perkembangan geopolitik global ketika ini menunjukkan risiko ketidaktentuan yang tinggi, termasuk gangguan kepada bekalan minyak dunia, kenaikan kos tenaga dan tekanan terhadap perdagangan antarabangsa. Konflik bersenjata antara AS, Israel dan Iran yang tercetus sejak Februari lalu telah menyaksikan serangan udara, peluru berpandu dan dron di beberapa negara rantau tersebut, sekali gus meningkatkan kebimbangan terhadap kestabilan pasaran global.

Menurut Salleh, keadaan itu boleh memberi kesan tidak langsung kepada Sabah, terutama melalui kenaikan harga bahan api dan pengukuhan dolar AS yang meningkatkan kos import. Katanya, walaupun negeri pengeluar minyak seperti Sabah berpotensi memperoleh hasil tambahan apabila harga minyak meningkat, manfaat tersebut tidak semestinya dirasai segera oleh rakyat.

Beliau menjelaskan kesan yang lebih cepat dirasai ialah peningkatan kos sara hidup apabila kos pengangkutan dan logistik naik, sekali gus mendorong kenaikan harga barangan asas. Kebergantungan Sabah kepada barangan import dari luar negeri dan luar negara turut menyebabkan negeri itu lebih terdedah kepada kejutan ekonomi global.

Salleh turut memberi amaran bahawa sektor pelancongan dan perniagaan mungkin terjejas sekiranya ketidaktentuan geopolitik berterusan, kerana kos perjalanan yang lebih tinggi dan sentimen pelabur yang lemah boleh memperlahankan aktiviti ekonomi.

Sehubungan itu, beliau menegaskan kerajaan Sabah perlu merangka strategi khusus termasuk mengurus perbelanjaan secara berhemah, memberi tumpuan kepada sektor kritikal serta memperkukuh daya tahan ekonomi tempatan. Pada masa sama, beliau menggesa rakyat supaya lebih bersedia menghadapi perubahan ekonomi global dengan mengurus kewangan secara bijak dan menyesuaikan diri dengan keadaan semasa.

Konflik di Timur Tengah ketika ini turut mencetuskan kebimbangan antarabangsa mengenai risiko perang serantau yang lebih besar serta kesannya terhadap harga minyak dan kestabilan ekonomi global. – SuaraTV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat