KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad menegaskan, kenyataan Setiausaha Agong PKR Fuziah Saleh telah menimbulkan persoalan kerana dilihat lebih bersifat defensif dalam isu dakwaan rasuah RM9.5 juta melibatkan seorang ahli Parlimen PKR.
Menurut Nik Nazmi, pendekatan seperti ini bukan sahaja tidak membantu untuk meredakan keadaan tetapi menghantar mesej yang salah kepada rakyat dalam usaha memerangi rasuah pihak yang mendakwa mempunyai maklumat tidak seharusnya diugut ataupun ditekan.
“Pada masa yang sama PKR juga tidak boleh mengambil sikap menolak terus ataupun memandang ringan dakwaan yang timbul tanpa ada satu proses siasatan yang telus.
“Membingkaikan dakwaan sebagai fitnah secara terburuk hanya akan menjejaskan keyakinan orang ramai terhadap komitmen parti dalam soal integriti yang selama ini diperjuangkan,” bidas beliau.
Nik Nazmi berkata demikian mengulas kenyataan Fuziah bahawa PKR tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang terus menyebarkan fitnah atau tohmahan terhadap kepimpinan parti tanpa sebarang asas yang sahih.
Setiausaha Agung PKR itu berkata parti berkenaan memandang serius dakwaan yang tular kebelakangan ini, yang cuba mengaitkan kepimpinan parti dengan tuduhan menerima sejumlah wang bagi tujuan menyelesaikan urusan berkaitan kepentingan tertentu termasuk dakwaan melibatkan elemen “mafia korporat”.
“Tindakan undang-undang akan dipertimbangkan dan diambil sewajarnya, sama ada terhadap individu di dalam mahupun di luar parti,” kata Fuziah.
Justeru Nik Nazmi mengingatkan, pada masa yang sama prinsip kebertanggungjawaban perlu juga terpakai kepada semua pihak termasuklah mereka yang membuat dakwaan bahawa adanya isu rasuah ini rakyat akan membandingkan sikap parti ketika menjadi pembangkang, membongkar skandal-skandal seperti 1MDB dan NFC berbanding sikap berada dalam kerajaan pada hari ini.
“Realitinya, ini bukan lagi soal persepsi politik semata-mata tetapi soal kepercayaan PKR perlu sedar, rakyat sedang memerhati dan menilai.
“Pada masa ini, rakyat tidak akan terkesan dengan retorik tetapi dengan keberanian untuk membetulkan keadaan dan memastikan kebenaran terbongkar.
“Untuk makluman semua, saya bukanlah Ahli Parlimen yang menerima RM9.5 juta tersebut,” tegas Nik Nazmi.



