KUALA LUMPUR -Apalah sangat yang Kerajaan Madani hendak berasa kecewa kalau rakyat jelata melalak dan pembangkang mempolitikkan kenaikan harga minyak dan pelbagai lagi masalah yang menghimpit kehidupan.
Natijahnya, kalau dulu Datuk Seri Anwar Ibrahim bangun membuat kutukan terhadap kerajaan, sekarang giliran rakyat jelata pula bangun dan kutuk beliau. Setiap yang berputar akan kembali ke asalnya.
Menurut wartawan veteran Datuk A Kadir Jasin mendakwa, rakyat melalak dan maki hamun bersebab.
“Bila saya fikir dalam-dalam, ada benarnya apabila Perdana Menteri Anwar menuduh sesetengah kita melalak dan maki hamun.
“Semalam ada lagi alasan untuk kita melalak dan maki hamun iaitu kenaikan harga minyak, kecuali Budi95 dan di wilayah istimewa Sabah dan Sarawak, bagi minggu 26 Mac hingga 1 April.
“Kita pun boleh juga melalak dan maki hamun mengenai dakwaan bahawa seorang Ahli Parlimen PKR (berjawatan menteri) terima sogokan RM9.5 juta untuk selesaikan tindakan undang-undang berkaitan “mafia korporat”.
“Saya rasa memang kita melalak apabila kita bersuara, mengharapkan Anwar melakukan keajaiban dalam mentadbir negara sedangkan kita tahu tahap kemampuan beliau,” bidas A Kadir dalam catatan di Facebooknya pada Khamis.
Jelas A Kadir, ada pendapat yang mengatakan, ekonomi negara sekarang diuruskan oleh tiga orang iaitu Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Setiausaha Kementerian Kewangan Datuk Johan Mahmood Merican dan orang kanan Perdana Menteri, Wan Hasni Wan Sulaiman.
“Dulu-dulu pun kita maki hamun juga apabila kerajaan naikkan harga minyak. Bukan kita saja, malah Anwar lagi kuat melalak dan maki hamun.
“Beliau kutuk kerajaan dan janji akan turunkan harga minyak kalau kita pilih beliau jadi Perdana Menteri. Ramai yang percaya dan sokong sampai beliau dapat jadi Perdana Menteri.
“Masa itu, kita pun tak tanya, sejauh mana beliau telah mendalami ilmu ekonomi dan kewangan untuk jadi Perdana Menteri dan turunkan harga minyak.
“Oleh sebab sumpah seranah beliau terhadap kerajaan dulu-dulu menepati kemahuan kita, maka kita pun percaya janji-janji beliau.
” Kita buat-buat lupa yang beliau adalah pemidato yang cakap ikut selera dan sambutan orang ramai. Apa yang dapat tepukan dan tempik sorak, itulah yang dijanjikan.
“Seperti kata lagu nyanyian Mendiang Roberta Flak:”Strumming my pain with his fingers, Singing my life with his words, Killing me softly with his song, Killing me softly with his song, Telling my whole life with his words, Killing me softly with his song….”
“Bagi saya, itulah lagu tema politik Anwar. Janjikan yang manis-manis, khayalkan pendengar dan pergunakan mereka untuk agenda beliau,” dakwa A Kadir.
Realitinya kata beliau, dengan menggunakan frasa seperti subsidi bersasar, beliau telah mengurangkan peruntukan subsidi daripada 23 peratus belanjawan sebelum zaman Madani kepada 17.4 peratus pada tahun 2024 dan 14.5 tahun ini.
Ujar A Kadir, subsidi adalah amalan yang sangat dibenci oleh Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF). Ketika menjadi Menteri Kewangan era Tun Dr Mahathir Mohamad, terutama waktu Krisis Mata Wang Asia (1997-98), Anwar pilih kaedah IMF.
“Dalam bahasa yang mudah, kalau pembahagian kekayaan negara melalui subsidi tidak baik dan perlu dikurangkan, ia sewajarnya diganti dengan cara lain. Misalnya, pertumbuhan ekonomi yang lebih pesat, produktiviti yang tinggi, guna tenaga penuh dan upah lumayan.
“Kalaulah betul fundamental ekonomi negara kukuh, pertumbuhan mapan, ringgit mencanak, rizab antarabangsa Bank Negara meroket dan pelaburan mencurah-curah masuk, kerajaan tentu boleh mewujudkan penampan (buffer) kepada kenaikan harga minyak dunia.
“Hatta Thailand yang lebih miskin daripada kita itu pun melaksanakan langkah penampanan bagi mengelak kenaikan mendadak harga diesel. Akibatnya, harga diesel di Malaysia kini lebih mahal daripada Thailand.
Cuma sistem peruncitan bahan bakar di Malaysia lebih efisyen daripada negara-negara jiran. Banyak tempat di Thailand dilaporkan telah mula menderita masalah bekalan.
“Kenaikan harga diesel di Malaysia memang sangat besar dan mendadak. Ada analisis mengatakan, berbanding Januari (sebelum Amerika dan Israel bom Iran), ia telah meningkat lebih 50 peratus. Diesel naik 82 peratus dalam tempoh tiga minggu. Bagi tempoh sebulan, dari 26 Februari hingga 26 Mac, RON97 naik 63 peratus, RON95 naik 49 peratus dan Diesel naik 81 peratus. Tidak pernah berlaku dalam sejarah negara,” katanya.



