KUALA LUMPUR,– Seorang petugas Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) yang dilaporkan hilang ketika menjalankan tugas penandaan dan pengukuran sempadan antarabangsa Malaysia–Brunei Darussalam di Sarawak disahkan telah ditemui meninggal dunia pada 25 Mac lalu.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Dato’ Sri Arthur Joseph Kurup dalam satu kenyataan berkata, mangsa, Encik Donysius bin Gebrial Goh, dipercayai ditemui di sungai kira-kira 500 meter dari lokasi terakhir beliau dilaporkan hilang.
Menurut beliau, mendiang yang bertugas sebagai Pembantu Khidmat Am H1 di Pejabat Topografi Wilayah Miri, Bahagian Pemetaan Topografi Sarawak, telah menunjukkan pengorbanan besar demi negara ketika melaksanakan tugasan rasmi berkaitan penandaan sempadan darat antara kedua-dua negara.
“Bagi pihak kementerian dan seluruh warga JUPEM, saya menzahirkan ucapan takziah yang paling mendalam kepada isteri serta dua anak mendiang yang masing-masing berusia 12 dan 10 tahun. Kehilangan ini amat meruntun jiwa kerana mendiang sedang berkhidmat dalam operasi yang mencabar demi kedaulatan tanah air,” katanya.
Beliau turut memberi jaminan bahawa pihak kementerian akan memastikan segala bentuk bantuan dan sokongan moral diselaraskan sebaik mungkin bagi membantu keluarga mendiang menghadapi saat sukar ini.
Dalam masa sama, Arthur merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Brunei Darussalam atas kerjasama erat sepanjang operasi mencari dan menyelamat (SAR), termasuk penglibatan Pasukan SAR Brunei, Tentera Darat Diraja Brunei serta Tentera Gurkha yang menyalurkan bantuan keanggotaan tambahan.
Penghargaan turut diberikan kepada Tentera Udara Diraja Brunei yang menyediakan pesawat helikopter bagi membantu operasi mengeluarkan jenazah dari kawasan sukar diakses, selain bantuan Pasukan Polis Diraja Brunei serta Hospital RIPAS Bandar Seri Begawan dalam proses forensik dan bedah siasat.
Menurut beliau lagi, pihak JUPEM, Kementerian Luar Negeri, Majlis Keselamatan Negara, Polis Diraja Malaysia serta semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam operasi pencarian juga wajar diberikan penghargaan atas komitmen dan kerjasama yang ditunjukkan.
Kerjasama antara Malaysia dan Brunei kini tertumpu kepada proses pengecaman serta dokumentasi sebelum jenazah mendiang dibawa pulang ke tanah air selepas semua prosedur pentadbiran di Brunei selesai.
“Segala jasa dan khidmat bakti mendiang Donysius bin Gebrial Goh akan sentiasa dikenang oleh negara. Semoga keluarga mendiang diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi ujian ini,” katanya. – SuaraTV



