KUALA LUMPUR, – Kerajaan memutuskan untuk menyelaraskan kelayakan penggunaan petrol bersubsidi BUDI95 daripada 300 liter kepada 200 liter sebulan bermula 1 April ini sebagai langkah menangani tekanan global susulan konflik di Asia Barat yang menjejaskan bekalan tenaga dan rantaian ekonomi dunia.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam perutusan khas berkata, keputusan tersebut diambil selepas kerajaan mendapati purata penggunaan petrol bersubsidi dalam kalangan majoriti rakyat hanya sekitar 100 liter sebulan, manakala hampir 90 peratus menggunakan kurang daripada 200 liter.
Menurut beliau, langkah itu bersifat sementara bagi memastikan bekalan bahan api negara kekal mencukupi di tengah ketidaktentuan harga minyak global, namun harga petrol BUDI95 dikekalkan pada kadar RM1.99 seliter bagi mengurangkan beban rakyat.
Dalam masa sama, kerajaan mengekalkan had penggunaan lebih tinggi sehingga 800 liter bagi pemandu e-hailing dan pekerja gig dengan mengambil kira keperluan pekerjaan mereka.
Perdana Menteri turut memaklumkan bahawa Sabah dan Sarawak akan terus menikmati subsidi diesel pada kadar RM2.15 seliter walaupun harga pasaran global meningkat, dengan kerajaan akan memperketat penguatkuasaan bagi mengekang ketirisan dan penyeludupan.
Bagi memastikan pengagihan bahan api lebih adil, kerajaan juga akan menghadkan jumlah pengisian setiap pembelian mengikut kategori kenderaan, termasuk maksimum 50 liter bagi kenderaan ringan dan sehingga 150 liter bagi kenderaan pengangkutan berat melebihi tiga tan.
Anwar berkata konflik melibatkan Iran, Israel dan negara-negara Teluk telah memberi kesan langsung kepada bekalan minyak dan gas dunia, sekali gus berpotensi meningkatkan harga makanan, baja dan kos logistik di Malaysia.
Sehubungan itu, kerajaan juga sedang meneliti langkah tambahan termasuk pelaksanaan kerja lebih anjal serta bekerja dari rumah secara berperingkat dalam sektor awam, selain menggesa sektor swasta mengambil pendekatan sama bagi mengurangkan tekanan kos.
Beliau menegaskan tindakan tersebut diambil secara teliti dan berhemah demi menjaga kepentingan rakyat serta memastikan momentum pertumbuhan ekonomi negara terus kekal dalam keadaan mencabar di peringkat global. – SuaraTV



