CYBERJAYA – Kerajaan mengumumkan beberapa langkah baharu bagi memastikan kestabilan bekalan tenaga negara susulan peningkatan mendadak subsidi bahan api akibat konflik berterusan di Asia Barat.
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkata, subsidi bahan api kini melonjak sehingga mencecah sekitar RM4 bilion sebulan berbanding RM3.2 bilion yang dilaporkan dua minggu lalu.
Menurut beliau, peningkatan tersebut berpunca daripada ketidaktentuan global susulan konflik di Asia Barat yang memberi tekanan kepada pasaran tenaga dunia.
“Kerajaan MADANI telah bertindak awal untuk memastikan bekalan tenaga kekal mencukupi tanpa mengorbankan kesejahteraan rakyat, namun situasi semasa menuntut pendekatan lebih seimbang antara kemampanan fiskal dan keperluan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook rasmi hari ini.
Sehubungan itu, kerajaan memutuskan untuk mengekalkan harga petrol RON95 pada RM1.99 seliter, namun dengan had penggunaan sebanyak 200 liter sebulan bagi setiap individu bermula 1 April 2026.
Tambah beliau, langkah itu dijangka tidak menjejaskan hampir 90 peratus rakyat Malaysia.
Dalam masa sama, had penggunaan sebanyak 800 liter sebulan bagi sektor e-hailing akan terus dikekalkan bagi menyokong kelangsungan pendapatan pemandu.
Bagi mengawal penggunaan diesel, kerajaan turut melaksanakan had pengisian secara sementara di Sabah, Sarawak dan Labuan.
Selain itu, penguatkuasaan akan dipertingkatkan bagi membanteras ketirisan subsidi termasuk aktiviti penyelewengan di stesen minyak.
Anwar turut merakamkan penghargaan kepada orang ramai yang tampil melaporkan aktiviti mencurigakan, sekali gus membantu kerajaan melindungi subsidi daripada disalahgunakan.
Beliau menegaskan bahawa langkah sementara ini bertujuan memastikan majoriti rakyat terus dilindungi, bekalan tenaga kekal stabil serta negara mampu berdepan ketidaktentuan global.
“Dalam tempoh mencabar ini, disiplin dan kebersamaan kita menjadi kekuatan utama,” katanya sambil menyeru rakyat untuk menggunakan bahan api secara berhemah.



