3 Ahli Sindiket ‘Love Scam’ Ditahan

- Advertisement -

KUANTAN – Polis Bentong berjaya menahan dua lelaki dan seorang wanita dipercayai ahli sindiket ‘Love Scam’ di sekitar Genting Highlands, tengah hari Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata suspek berusia antara 32 hingga 37 tahun itu diberkas dalam serbuan kira-kira jam 12 tengah hari di dua lokasi berasingan berhampiran pusat peranginan itu.

“Tangkapan itu dibuat hasil serbuan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong di dua lokasi berbeza.

“Pemeriksaan lanjut terhadap suspek mendapati mereka dipercayai terbabit dalam aktiviti penipuan ‘Love Scam’ selain gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah,” katanya dalam satu kenyataan media malam tadi.

Zaiham berkata, tiga unit komputer riba, tujuh telefon bimbit, satu unit tablet dan ‘router’ wifi dirampas dalam serbuan itu.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1956/1963.

“Sabit kesalahan boleh dihukum tidak kurang satu tahun atau tidak lebih 10 tahun penjara dan dengan sebatan atau keduanya sekali,” katanya lagi.

Beliau turut mengingatkan orang awam supaya lebih berhati-hati dengan taktik sindiket ini yang menjadikan laman sosial Facebook dan aplikasi Telegram untuk mencari mangsa.

Katanya lagi, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan jenayah atau aktiviti mencurigakan di kawasan mereka untuk menghubungi balai polis berhampiran bagi memudahkan pemantauan oleh pihak polis.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat