CYBERJAYA – Ketua Penerangan PAS Malaysia merangkap Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari, tampil memberi respons terhadap dakwaan amalan “dwi standard” dalam penguatkuasaan undang-undang berhubung isu cubaan merobohkan sebuah kuil Hindu di Rawang Perdana pada 11 Februari lalu.
Beliau menerusi hantaran di Facebook peribadinya menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan undang-undang sepatutnya terpakai sama kepada semua pihak, termasuk rumah ibadat tanpa mengira agama, sekiranya ia didirikan di atas tanah milik persendirian tanpa kebenaran.
“Saudara bertanya apakah tindakan jika surau berada di atas tanah peribadi orang lain, jawapannya ya. Jika surau berdepan dengan isu yang sama, inilah juga tindakannya,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan sama ada terdapat surau yang didirikan di atas tapak secara tidak sah, sambil menambah bahawa jika perkara itu tidak berlaku, persoalan seterusnya ialah mengapa isu berkenaan tidak timbul terhadap surau walaupun jumlah penganut Islam jauh lebih ramai.
Kenyataan itu dibuat sebagai reaksi terhadap kenyataan aktivis masyarakat, Arun Dorasamy, yang mempersoalkan sama ada tindakan sama akan diambil sekiranya insiden berkenaan melibatkan masjid atau surau.
Menurut Arun, persoalan itu timbul kerana beliau melihat kemungkinan wujud layanan berbeza dalam penguatkuasaan undang-undang berkaitan rumah ibadat.
“Jika kita terbalikkan senario ini, fikirkanlah… Jika isu ini berlaku kepada surau atau masjid, adakah situasinya akan jadi begini?
Arun merupakan wakil NGO Pasukan Bertindak Pemeliharaan Kuil (Tepat) .
Isu tersebut mencetuskan perdebatan awam mengenai sensitiviti agama serta keperluan memastikan penguatkuasaan undang-undang dilaksanakan secara adil dan konsisten tanpa mengira latar belakang agama.



