Oleh Zihan Zari
IPOH – Dengan semangat juang tinggi, seramai 19 atlet terbaik Politeknik Ungku Omar (PUO) o menyertai Kejohanan Sukan Asasi Malaysia (SAM) ke-9 2026 yang telah berlangsung selama tiga hari di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Kuala Lumpur, baru-baru ini.
PUO dalam kenyataan berkata, pelepasan flag-off dan penyerahan bendera Kontinjen Asasi Politeknik Malaysia, penuh simbolik ini telah disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Akademik (TPA) PUO, Norman Zamri di Makmal Sains Asasi Teknologi Kejuruteraan PUO, dekat sini.
Penyerahan bendera tersebut merupakan simbolik amanah dan tanggungjawab besar yang digalas oleh para atlet untuk membawa nama baik institusi ke persada temasya sukan itu.
Turut hadir memberi sokongan padu, Ketua Jabatan Matematik, Sains dan Komputer (KJMSK) PUO serta Ketua Jabatan Sukan, Kokurikulum dan Kebudayaan (KJSKK).
“PUO telah menghantar seramai 19 orang atlet terbaik merupakan pelajar Program Asasi di kalangan 123 atlet dari 9 Politeknik di seluruh Malaysia bagi bersaing dalam kejohanan yang menghimpunkan mahasiswa asasi dari seluruh negara dalam satu platform kesukanan berprestij ini.
“Mereka bersaing dalam 11 acara sukan
pelbagai kategori yang menguji fizikal dan mental, antaranya, Sukan Padang & Gelanggang: Bola Sepak, Bola Jaring, dan Olahraga, Sukan Minda & Teknikal: Catur; dan Sukan Aliran Moden: E-Sport, sekali gus mencerminkan pendekatan pembangunan mahasiswa yang holistik,”kata kenyataan itu.
Katanya, kejohanan bertemakan ‘Semarak Asasi, Gempur Prestasi’ ini yang dianjurkan oleh UPNM selaku tuan rumah telah menghimpunkan kira-kira 1,400 atlet asasi dari seluruh negara dalam satu pentas persaingan yang menekankan disiplin, semangat kesukanan dan pembinaan karakter.
“Pihak pengurusan PUO mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua atlet yang telah mempamerkan disiplin dan semangat kesukanan yang tinggi.
“Kejayaan sebenar bukan sahaja terletak pada pingat, tetapi pada karakter dan daya tahan yang dibina sepanjang kejohanan.
“PUO merupakan politeknik perdana di Malaysia yang komited dalam melahirkan modal insan kompeten melalui program pengajian teknikal, vokasional, dan asasi teknologi kejuruteraan yang berkualiti tinggi, ”katanya lagi.
Dalam pada itu, Majlis Perasmian Penutup SAM 2026 telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Datuk Dr. Azlinda Azman. Turut hadir, Naib Canselor UPNM, Leftenan Jeneral Datuk Wira Arman Rumaizi Hj. Ahmad serta wakil universiti dan kontinjen yang bertanding.
SAM 2026 menyaksikan, Pusat Asasi Universiti Malaya (PASUM) telah dinobatkan sebagai juara keseluruhan dan sebagai simbolik kesinambungan sukan ini, bendera kejohanan telah diserahkan kepada Universiti Malaya (UM) sebagai tuan rumah bagi edisi SAM 2027.- SUARA.TV



