KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Larut Datuk Seri Hamzah Zainudin dijangka mengambil alih sebuah parti politik lama iaitu Parti Berjasa Malaysia (Berjasa) sebagai ‘rumah baharu’ dalam masa terdekat.
Beliau bersama 16 Ahli Parlimen dan beberapa bekas pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang dipecat dijangka menyertai parti berkenaan menerusi pengumuman rasmi bakal dibuat pada masa sesuai.
Bekas Ahli PimpinanTertinggi Bersatu Yunus Nurdin berkata, ‘rumah baharu’ itu merupakan parti politik lama yang bakal diambil alih Hamzah bagi membolehkannya menjadi pemimpin utama parti.
Namun beliau tidak memperincikan butiran lebih lanjut parti tersebut.
“‘Rumah baharu’ itu memang ada, ia merupakan parti lama tetapi akan diambil alih oleh Datuk Seri Hamzah. Pengumuman akan dibuat nanti, Insya-Allah. Apabila sudah diumumkan, kami semua akan menyertainya.
“Bagi yang sudah dipecat tidak mempunyai masalah untuk masuk ke ‘rumah baharu’. Bagi yang belum dipecat mungkin belum boleh menyertai lagi, namun saya yakin proses pemecatan itu akan berlaku,” katanya menurut Utusan pada Khamis.
Sebelum ini Hamzah yang juga Ketua Pembangkang dijangka menyertai parti politik lain atau ‘rumah baharu’ dalam masa terdekat selepas dipecat daripada Bersatu.
Ahli Parlimen Padang Rengas, Azahari Hassan berkata, selain wakil rakyat terlibat, platform politik baharu itu bakal disertai ketua-ketua bahagian Bersatu yang juga sudah pun menyatakan sokongan terhadap Hamzah.
Sebelum ini, Hamzah sewaktu Taklimat Hala Tuju dan Reset Politik pada 14 Februari lalu tidak menolak tiga kemungkinan hala tuju politiknya selepas dipecat serta-merta oleh Bersatu kerana melanggar perlembagaan parti.
Tiga hala tuju itu adalah mengambil alih Berjasa, kembali ke pangkuan Umno atau menyertai parti sekutu di dalam Perikatan Nasional (PN) iaitu Pas.
Mengulas lanjut, Yunus tidak menolak kemungkinan wujud kerjasama antara ‘rumah baharu’ itu dengan Pas di dalam Perikatan Nasional (PN).
“Dalam politik ni macam macam boleh jadi, kalau ‘rumah baharu’ ini sesuai dan boleh bekerjasama dengan PN, kenapa tidak? Kita masuk demi untuk menjamin kemenangan masa depan.
“Kerjasama itu mungkin akan berlaku dan kemungkinan itu lebih tinggi, kita tahu Hamzah dengan Pas merupakan kawan baik yang dari dulu lagi,” katanya.
Katanya, ‘rumah baharu’ akan menjadi sebuah parti yang lebih baik dari Bersatu susulan sokongan diterima Hamzah terutama di dalam kalangan ahli-ahli Parlimen.
“Majoriti ahli Parlimen lebih ramai yang menyokong Hamzah dan akan berniat untuk masuk ke ‘rumah baharu’. Jadi persaingan (dengan Bersatu) itu memang akan diberikan dan mungkin Insya-Allah akan meninggalkan Bersatu jauh,” katanya.
Katanya, Bersatu akan melakukan pemecatan besar-besaran melibatkan pemimpin kanan yang secara terbuka menyatakan sokongan terhadap Hamzah seperti Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dan Ketua Srikandi, Datuk Mas Ermieyati Samsudin serta beberapa ahli Parlimen.
Katanya, proses pemecatan itu pasti ada berlaku ekoran kepimpinan Bersatu tidak akan membiarkan parti terus dikritik oleh ahlinya sendiri.
Beliau berkata, pemecatan tersebut akan memberi ruang kepada pemimpin berkaitan untuk memasuki ‘rumah baharu’ yang bakal digagaskan oleh Hamzah.
Dalam pada itu, bekas Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) Bersatu Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik berkata, mereka kini dalam proses membentuk jawatankuasa penaja di semua bahagian sebagai persediaan menyertai satu jajaran politik baharu menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tidak lama lagi.
Beliau menegaskan melalui jajaran baru itu mereka akan meneruskan perjuangan membela agama, bangsa dan negara serta berjanji membawa pendekatan politik yang lebih agresif dan berprinsip demi masa depan rakyat Melaka.
Bagaimanapun Presiden Berjasa, Zamani Ibrahim menegaskan bahawa beliau masih ketua parti dan masih belum ada perbincangan dengan Hamzah berhubung perkara itu.
Beliau namun menasihatkan Hamzah dan pemimpin Melayu lain untuk tidak menubuhkan parti politik baharu ekoran jumlah yang sudah terlalu banyak dan berisiko menyebabkan perpecahan.
“Tidak kira siapa pun yang dipecat, sama ada Hamzah dan rakan-rakannya, janganlah tubuhkan parti baharu kerana orang Melayu sudah ada banyak parti politik. Carilah parti-parti yang sedia ada, ada lebih kurang tujuh parti.
“Kepada parti-parti itu juga, apabila Hamzah dan rakan-rakannya nak masuk, janganlah tutup ‘pintu’. Berjasa sendiri pun mempelawa, cumanya parti ada peraturan dan perlembagaan yang perlu diikuti,” katanya.
Zamani berkata, setakat ini tidak ada bekas pemimpin Bersatu yang menghubungi beliau untuk menyertai Berjasa.
“Yang ada beberapa individu-individu yang menghubungi bahagian-bahagian saya nak menjadi ahli. Saya tidak boleh nak pastikan kesahihan perkara itu tetapi saya pesan pada semua bahagian, prosesnya sama sahaja ikut perlembagaan parti, tidak kira siapa pun,” katanya.



