KUALA LUMPUR – Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan menasihatkan rakyat Malaysia tidak mengunjungi Iran susulan ketegangan antara negara itu dengan Amerika Syarikat (AS).
Mohamad berkata Wisma Putra mengeluarkan nasihat perjalanan sebanyak dua kali supaya tiada mana-mana pihak ke sana sekiranya tiada perkara penting.
“Tetapi rakyat Malaysia ini degil, ada juga yang pergi. Baru-baru ini, dia (rakyat Malaysia) patut pergi seminggu tapi dia potong (kurangkan) dua hari sahaja.
“Janganlah pergi ke sana kerana dalam keadaan sekarang ini, apa jua kemungkinan akan berlaku. Jika apa-apa berlaku ia akan menyusahkan kita.
“Seperti tahun lepas, AS mengebom loji nuklear (di Iran), kita terpaksa buat pelan evakuasi. Mereka (rakyat Malaysia) terpaksa melalui jalan darat lebih 1,200 kilometer dari Taheran ke Ashgabat, Turkmenistan.
“Saya minta (bantuan) rakan sejawat di Turkmenistan kerana di sana perlu ada visa untuk masuk, kalau tak ada visa tak boleh. Kita minta supaya mereka ini dikecualikan daripada visa. Kita bawa rakyat Brunei dan Singapura sekali kerana kita menjadi Pengerusi ASEAN pada ketika itu,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Khamis.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Khlir Mohd Nor (PN-Ketereh) mengenai pelan evakuasi bagi warganegara Malaysia yang berada di Iran dan berapakah jumlah bilangan rakyat negara ini yang berada di sana.
Mengulas lanjut, Mohamad memaklumkan pada ketika ini, seramai 13 rakyat Malaysia berada di Iran termasuk pelajar.
Beliau berkata, Wisma Putra memberikan nasihat kepada mereka sebanyak tiga kali untuk membawa mereka pulang susulan isu yang berlaku, namun 13 rakyat Malaysia itu enggan untuk pulang.
“13 orang ini sekarang masih berada di Iran dan kita telah minta mereka tandatangan Surat Indemnity bahawa mereka tidak boleh menyalahkan kerajaan kerana kita nak bawa balik, tetapi mereka tidak mahu balik atas kerelaan mereka,” katanya menurut Harian Metro.
Beliau berkata, pada 18 Januari lalu, seramai 11 ahli keluarga yang bertugas di Kedutaan Malaysia di Tehran telah dibawa pulang ke negara ini, manakala seramai lima orang pegawai dan Duta Malaysia ke Iran telah dibawa pulang pada 2 Februari lalu.



