Sebar Berita Palsu berkait Agong, Lelaki 67 Tahun Dipenjara 6 bulan

- Advertisement -

PUTRAJAYA (25 Feb 2025) – Seorang warga emas berusia 67 tahun dijatuhi hukuman penjara enam bulan selepas gagal membayar denda RM30,000 atas kesalahan menyebarkan maklumat palsu mengenai Yang di-Pertuan Agong dan Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-268 menerusi akaun Facebook miliknya.

Menurut kenyataan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), tertuduh, Johari Ismail, melakukan kesalahan itu pada 8 Februari lalu dan kini sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang bermula hari ini.

“Tindakan terbabit bukan sahaja menimbulkan kebencian kepada kerajaan, malah masyarakat turut memandang rendah terhadap institusi diraja,” ujar Hakim Ahmad Fuad Othman ketika menjatuhkan hukuman di Mahkamah Sesyen Sepang hari ini.

Hukuman tersebut dikenakan di bawah Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun, atau kedua-duanya sekali.

Tertuduh Ditahan Selepas Waran Tangkap Dikeluarkan

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya SKMM, Faten Hadni Khairuddin, manakala Johari tidak diwakili peguam.

Tertuduh ditahan pada 24 Februari selepas mahkamah mengeluarkan waran tangkap akibat kegagalannya hadir dalam prosiding pertuduhan sebelum ini.

Berdasarkan siasatan, pada jam 11:30 pagi, 8 Februari, Johari memuat naik satu hantaran palsu yang mendakwa Majlis Raja-Raja membuat undian untuk mengambil tindakan terhadap kerajaan kerana didakwa ingkar melaksanakan dokumen tambahan berkaitan kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Kes ini menjadi peringatan kepada rakyat Malaysia agar lebih berhati-hati dalam menyebarkan maklumat di media sosial, terutama yang melibatkan institusi diraja dan kerajaan.

author avatar
Azie Saharuddin
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat