Dalam usaha untuk memberi kembali kepada masyarakat, Perfume Paradise bersama ikon media sosial, Abam Panda, telah melancarkan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bertajuk “Kongsi Rezeki Perfume Paradise X Abam Panda”. Program ini bermula dengan pengagihan ayam percuma kepada penduduk di Flat Danau Kota, Jalan Genting Klang, dengan harapan dapat diperluaskan ke lebih banyak kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di masa hadapan.
Ketua Pengarah Perfume Paradise, Nur Afiqah, menyatakan bahawa kejayaan syarikat dalam industri wangian menjadi pemangkin untuk mereka melaksanakan lebih banyak inisiatif kebajikan.
“Dengan pencapaian memberangsangkan yang kami capai, ini adalah masa terbaik untuk kami berkongsi rezeki dengan masyarakat,” katanya.
Kolaborasi bersama Abam Panda tercetus kerana beliau merupakan ikon yang mencerminkan semangat kerja keras dan dedikasi sebagai ketua keluarga.
“Saya pilih Abam Panda kerana beliau adalah seorang suami yang sentiasa berusaha keras untuk menggembirakan keluarganya. Saya nampak perkara ini sebagai satu contoh yang baik untuk golongan muda,” ujar Nur Afiqah.
Abam Panda bukan sekadar wajah utama program ini, tetapi turut serta dalam pengagihan sumbangan kepada penduduk.
“Saya sangat bersyukur dapat berkongsi rezeki dengan masyarakat di sini. Ini juga pengalaman peribadi bagi saya kerana saya pernah tinggal di flat ini ketika saya dan keluarga melalui saat-saat sukar,” kata Abam Panda, yang pernah menetap di Flat Danau Kota semasa awal perkahwinannya.
Program pertama ini menyaksikan pengagihan sekitar 300 ekor ayam kepada penduduk, menggunakan konsep ‘first come, first serve’ tanpa mengira latar belakang.
“Kami sengaja tidak membuat pengumuman di media sosial kerana ingin melihat sendiri reaksi masyarakat. Alhamdulillah, sambutan sangat baik,” kata Nur Afiqah.
Perfume Paradise dan Abam Panda turut merancang untuk meneruskan program CSR ini dengan menyesuaikan bentuk sumbangan mengikut keperluan masyarakat.
“Kali ini kami agihkan ayam kerana sesuai untuk persediaan bulan Ramadan. Pada masa depan, kami akan mempertimbangkan bentuk bantuan lain bergantung kepada keperluan,” jelas mereka.
Perfume Paradise bukanlah asing dalam usaha kebajikan, setelah sebelum ini terlibat dalam program “Kongsi Kasih” terbitan Astro. Mereka berharap agar program Kongsi Rezeki ini dapat diteruskan secara berkala, bukan sekadar acara tahunan.
“Jika diizinkan, kami mahu menjadikannya sebagai program mingguan atau bulanan. Kami akan melihat cadangan masyarakat untuk menentukan lokasi dan jenis sumbangan yang paling sesuai,” kata Nur Afiqah.
Dalam masa yang sama, Abam Panda turut menyatakan hasratnya untuk terus terlibat dalam aktiviti kebajikan seperti ini.
“Saya dan isteri pernah melalui kehidupan yang sukar. Dari bekerja di kedai makan dengan gaji harian hingga menempuh cabaran pandemik, kami memahami kesusahan yang dialami oleh orang lain. Inilah cara kami ingin berkongsi rezeki,” katanya.
Dengan usaha berterusan, Perfume Paradise dan Abam Panda berharap agar program ini menjadi inspirasi kepada lebih banyak organisasi dan individu untuk turut serta dalam membantu masyarakat yang memerlukan.