KUALA LUMPUR – Penasihat Agama kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Khairuddin Aman Razali menasihatkan Dewan Ulamak Pas Pusat (DUPP) agar tidak mencari titik-titik berbeza dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana perbezaan parti dan pegangan politik untuk diangkat menjadi polemik.
Menurut ahli Majlis Ulamak Umno itu, sewajarnya semua pihak mengangkat titik-titik kebersamaan untuk digerakkan bagi memperkasakan lagi Islam dalam negara.
“Saya membaca teguran Dewan Ulamak Pas Pusat terhadap ucapan Perdana Menteri tentang maksud ayat al-Quran dalam Surah al-Baqarah ayat 183 bermaksud: “diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu”.
Huraian oleh PM terhadap maksud ayat “sebagaimana” sudah menepati apa maksud al-Quran sebagaimana dihurai oleh para alim ulamak Islam iaitu “persamaan” dari sudut konsep puasa yang diwajibkan pada umat terdahulu tetapi berbeza pada cara dan perlakuan ibadah yakni “ibadah puasa adalah dikenakan dan diwajibkan atas umat-umat terdahulu tetapi dengan cara yang tidak diketahui melainkan oleh Allah”.
“Para ulamak tafsir sepakat bahawa persamaan puasa dengan umat terdahulu ialah pada persamaan kewajipan berpuasa atau pada persamaan konsep puasa iaitu meninggalkan makan dan minum tetapi para ulamak berbeza pendapat adakah ia juga persamaan pada masa dan cara atau tidak? Begitu juga ulamak berbeza pendapat adakah umat terdahulu itu merangkumi agama “samawi” sahaja kerana Arab Jahiliyyah yang menyembah berhala juga berpuasa Asyura sebagaimana Hadis Sahih daripada Aisyah (r.ah) katanya: “Dulunya hari Asyura merupakan hari yang orang-orang Qurasiy berpuasa di zaman Jahiliyyah”,” jelas Khairuddin dalam muat naik di Facebooknya pada Rabu.
Sebaliknya kata Khairuddin DUPP perlu ditegur kerana membuat tafsiran baru tersendiri yang menyempitkan maksud apabila menyatakan: “maksud “umat yang terdahulu berpuasa” dalam ayat Al-Quran tersebut adalah atas dasar syariat, ketauhidan dan kepatuhan ke atas ajaran Islam.”
“Hal ini kerana para ulamak ketika mentafsirkan ayat di atas telah menyebut tentang puasa orang kristian yang direka oleh paderi-paderi Kristian dan tentunya ia bukannya atas dasar ketauhidan. Begitu juga puasa Asyura orang Arab Jahiliyyah tentunya bukan atas dasar ketauhidan.
“Justeru, yang disepakati oleh ulama ialah pada “persamaan” dengan umat terdahulu ialah pada hukum kewajipan dan pada konsep berpuasa iaitu meninggalkan makan minum. Adapun lain pada itu menjadi khilaf ulama,” katanya.
Sebelum itu Harakah melaporkan, Dewan Ulamak PAS Pusat menggesa pihak autoriti agama supaya mengambil langkah menegur Perdana Menteri yang menyandarkan pandangannya kepada dalil Al-Quran secara tidak tepat dan menyalahi disiplin tafsir Al-Quran.
Ketua Ulamak Pas Pusat Datuk Ahmad Yahaya berkata, ayat berpuasa ‘sepertimana umat terdahulu’ tidak harus menjadi sandaran hujah bahawa orang bukan-Islam juga berpuasa sepertimana umat Islam berpuasa.
“Kenyataan PMX (Anwar) jelas terdapat kekeliruan yang nyata. Maksud ‘umat yang terdahulu berpuasa’ dalam ayat al-Quran tersebut adalah atas dasar syariat, ketauhidan dan kepatuhan ke atas ajaran Islam.
“Umat Nabi Nuh AS juga disyariatkan berpuasa, begitu juga jalur kenabian daripada Nabi Ibrahim AS dan umat-umat yang lahir selepasnya,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena, ayat tersebut memberikan gambaran bahawa perintah berpuasa sudah ada sebelum disyariatkan kepada umat Nabi Muhammad SAW.
“Ia tidak boleh ditafsirkan bahawa golongan bukan-Islam juga berpuasa dengan disandarkan kepada ayat ‘umat terdahulu juga berpuasa’.
“Puasa yang diamalkan oleh golongan bukan-Islam sepertimana puasa 40 hari sebelum Hari Easter dalam ajaran Kristian, puasa orang Yahudi mahupun dalam agama Hindu tidak sama dengan ajaran tauhid yang terdapat dalam agama Islam.
“Malah, dalam konteks perubatan juga ada istilah berpuasa. Namun, persamaan ini hanya dari sudut literal, bukan dari sudut istilah pensyariatan.
“Justeru, menyandarkan maksud puasa tersebut dalam satu bakul semua agama berpuasa apatah lagi menggunakan ayat Al-Quran sebagai hujah adalah perbuatan yang tidak beradab,” ujarnya.
Beliau dalam pada itu menegaskan bahawa pihaknya ingin menyatakan teguran kepada PMX di atas kekhilafan beliau yang menafsirkan ayat tersebut dan meletakkannya dalam konteks salah.
“Malah, sewajarnya pihak autoriti agama yang menasihati PMX sendiri seharusnya menangani salah faham ini sebelum ia terus merebak dan merosakkan pandang sisi masyarakat terhadap pensyariatan berpuasa,” katanya.