Bukan Cuma Ada Waktu Banjir Dan Pilihan Raya, Calon Bebas Nak Tukar Model Politik

MUAR- Pada awalnya N.15 Dewan Undangan Negeri (DUN) Maharani khabarnya cuma akan ditentang lima calon, namun pada hari penamaan calon, Lim Kim Joo hadir menjadikan persaingan enam penjuru.

Membawa kelainan dalam pendekatan kempen dan tawaran kepada pengundi di DUN Maharani, Kim Joo yang sudah 20 tahun berkecimpung dalam arena politik mengakui sudah popular di kalangan rakyat di Muar.

“Mesti ‘touch’ rakyat jangan cuma hadir ketika banjir, pilihan raya… baru turun. Saya nak tukarlah, saya nak tukar politik model baru.

“Walaupun sebagai calon Bebas, saya nak jaga negara dan rakyat juga ekosistem yang terjaga.

“Saya sangat suka jaga ekosistem, di Parit Jawa saya sendiri tanam pokok bakau secara sukarela, bakau bagus bagi bantu alam sekitar untuk laut dan hutan serta ikan membiak,” ujarnya.

Kim Joo menempelak segelintir wakil rakyat cuma hanya bercakap sahaja di Parlimen tapi tak urus alam sekitar atau kalau buat pun terbiar.

“Nak jaga ekosistem mesti kena lestari, bukan tanam, biar saja.

“Bukan itu sahaja, nak seimbangkan politik sekarang kelam kabut yang penting untungkan diri sendiri dan parti sendiri.

“Sekarang yang kita ada wakil rakyat yang kaya, mewah dan untung sendiri, sepatutnya kongsi dengan rakyat itu yang penting. Rakyat tengah susah kamu mewah pergi luar negara, makan angin. Kita mesti jaga rakyat bukan lari tinggal rakyat,” tegas beliau.

Kim Joo memaklumkan beliau sudah menceburi bidang politik sudah lebih 20 tahun.

“Saya politik sudah 20 tahun, dulu saya pergi tolong (Ahli Parlimen Muar) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, bantu beliau mendekati akar umbi di Muar.

“Bila Syed Saddiq datang (Muar) mesti cari orang yang dikenali, orang kuat kerja mesti cari saya. Saya ‘full support’ dia, saya cari duit sendiri, buat kerja.

“Syed Saddiq dulu baru tubuh parti orang tak kenal dia ‘handsome’ saja memang orang kenal, memang orang suka.

“Saya pegawai pembantu khas masyarakat cina untuk Syed Saddiq, orang Muar semua dah kenal saya,” beritahu Kim Joo.