Tiga Ahli Lembaga Pengarah, Pengurus Wakil Syarikat Berdepan 600 Pertuduhan Langgar Syarat Lesen

- Advertisement -

GERIK: Tiga ahli lembaga pengarah dan seorang pengurus yang mewakili sebuah syarikat didakwa di Mahkamah Majistret Pengkalan Hulu di sini semalam atas 600 pertuduhan melanggar syarat lesen kedai bebas cukai pada 2015.

Pertuduhan terhadap Ahmad Zubir Khalid, 61, Ong Bok Siong, 62, Mohd Radzuan Abdullah, 55, dan Chin Chin Jun, 55, yang mewakili syarikat Seruntun Maju Sdn Bhd beralamat di Kompleks Bebas Cukai, Pengkalan Hulu, dibacakan secara berasingan.

Setiap tertuduh, yang berdepan 150 pertuduhan, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Norhidayati Mohammad Nasroh dalam prosiding selama hampir lapan jam dan bermula pada kira-kira 12 tengah hari hingga 8 malam.

Mengikut pertuduhan, sebagai orang yang menjalankan perniagaan kedai bebas cukai di bawah Akta Kastam 1967, mereka telah gagal mematuhi syarat lesen berkaitan resit jualan nombor berbeza seperti dalam Butiran (19) iaitu setiap rekod resit jualan perlu mengandungi nama penuh, nombor dokumen perjalanan dan nombor kenderaan mengikut kehendak Perintah Tetap Kastam Bilangan 55.

Mereka didakwa melakukan kesemua kesalahan di Kompleks Bebas Cukai, Pengkalan Hulu di sini pada 9 Sept 2015 mengikut Seksyen 65D Akta Kastam 1967 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM20,000 atau atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan diketuai Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia Negeri Perak Dr Mohamad Saprin manakala peguam Louis Liaw Vern Xien mewakili kesemua tertuduh.

Terdahulu, Mohamad menawarkan jaminan sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh namun Liaw memohon jumlah itu dikurangkan kepada RM5,000.

Norhidayati kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 8 April sebagai tarikh sebutan semula kes.

– BERNAMA

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat