KUALA LUMPUR, – Kerajaan menerusi Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) terus memperkukuh keberkesanan Sistem Amaran Awal (Early Warning System – EWS) bagi memastikan makluman ancaman bencana seperti cuaca buruk, gempa bumi dan tsunami dapat disampaikan secara pantas, tepat dan menyeluruh termasuk kepada komuniti luar bandar.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup memaklumkan, sebanyak RM242 juta telah diperuntukkan untuk menaik taraf Sistem Amaran Awal Cuaca, meliputi projek peningkatan sistem ramalan serta pembinaan radar cuaca baharu.
Selain itu, Kerajaan turut memperuntukkan RM18 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) bagi pembangunan Sistem Amaran Awal Tsunami Nasional Malaysia (SAATNM).
Menurut beliau, Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) terus memperkukuh keupayaan ramalan cuaca melalui penambahbaikan Radar Integrated Nowcasting System (RaINS) yang mengintegrasikan rangkaian radar dan model ramalan berangka bagi menghasilkan unjuran pergerakan serta intensiti hujan secara hampir masa nyata.
Sistem Numerical Weather Prediction (NWP) pula dipertingkat dengan penggunaan teknologi High Performance Computing (HPC) terkini serta penerapan kecerdasan buatan (AI), pembelajaran mesin dan analitik data raya.
Pengukuhan ini membolehkan penjanaan ramalan cuaca sehingga 14 hari ke hadapan dengan resolusi lebih tinggi iaitu 300 meter berbanding 1 kilometer sebelum ini, sekali gus membantu mengenal pasti corak cuaca di kawasan berisiko tinggi lebih awal termasuk di luar bandar.
Bagi memastikan penyampaian amaran lebih pantas dan menyeluruh, MET Malaysia menggunakan pelbagai saluran komunikasi termasuk SMS, aplikasi myCuaca, laman sesawang rasmi, media sosial, siaran radio dan televisyen, serta kerjasama strategik bersama NADMA dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah.
Seiring komitmen kesiapsiagaan bencana negara, bermula tahun 2026 MET Malaysia menyasarkan untuk mempercepat tempoh hebahan maklumat gempa bumi dan amaran tsunami daripada 8 minit kepada 6 minit selepas kejadian dikesan, di samping meningkatkan ketepatan ramalan cuaca daripada 82 peratus kepada 85 peratus.
Jawapan itu diberikan bagi menjawab soalan lisan Datuk Seri Haji Jalaluddin bin Haji Alias (Jelebu) di Dewan Rakyat berhubung keberkesanan sistem amaran awal bencana khususnya di kawasan luar bandar.



