‘Ibnor Riza perlu kuat semangat, Insya Allah cepat sembuh’

- Advertisement -

Kuala Lumpur: Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT) meneruskan misi bantuan kepada penggiat seni yang bernasib malang apabila mengunjungi penyanyi Ibnor Riza yang kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur, petang semalam.

Pengerusi YKAT, Datuk DJ Dave berkata, mereka sudah dimaklumkan perkara terbabit oleh Datuk Nash baru-baru ini tetapi belum berkesempatan untuk melawatnya ketika itu.

“Jadi, kami salurkan terus sumbangan RM2,000 ke akaun Ibnor pada 5 Januari yang lalu. Semalam barulah kami berpeluang melawat dia.

“Kedatangan kami disambut dengan senyuman oleh Ibnor di samping isteri dan anaknya.

“Banyak juga saya nasihatkan dia untuk sentiasa jaga makan dan positif dengan apa yang berlaku, kena kuat semangat, Insya Allah akan cepat sembuh,” katanya kepada Harian Metro.

Ibnor, 62, yang popular pada era 1980-an, dimasukkan ke wad di HKL pada 15 Januari lalu.

Penyanyi yang popular dengan lagu Meneka Dalam Kesamaran dan Mimpi Yang Tak Sudah itu disahkan menghidap “Vocal Cord Palsy” yang membuatkannya sukar bercakap selain mengalami bengkak di bahagian leher.

DJ Dave berkata, Ibnor dijaga rapi oleh pihak hospital dan sentiasa ditemani isterinya, Sarimah, 51, bersama anak-anak.

“Sarimah beritahu dia berulang alik dari Seremban ke Kuala Lumpur sejak 19 Januari lagi sehingga ke hari ini. Ada masa dia akan tinggal di hotel bajet berdekatan agar dapat sentiasa melawat suaminya.

“Ibnor boleh berbual tapi suaranya agak perlahan. Dia gembira dengan kunjungan rakan-rakan artis yang datang melawat dan beri kata-kata semangat.

“Selain saya, Ann Ways dan Razif Ismail juga datang melawat. Ibnor berharap agar kesihatannya segera pulih,” kata DJ Dave.

Sejak mengalami masalah kesihatan, Ibnor yang bergantung sepenuhnya kepada nyanyian, kehilangan sumber pendapatan kerana terpaksa menolak tawaran yang datang.

Untuk itu, YKAT menyalurkan lagi sumbangan berjumlah RM500 kepadanya bagi meringankan beban perbelanjaan dan perubatan.

Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat