PKR Tanding Guna Logo Sendiri, DAP dan Amanah Guna Logo PH – Anwar

- Advertisement -

PETALING JAYA – PKR akan bertanding Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor menggunakan logonya sendiri, manakala dua sekutunya dalam Pakatan Harapan (PH), iaitu DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH) menggunakan logo gabungan parti pembangkang berkenaan.

Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata perbincangan pakatan pembangkang berhubung pengagihan kerusi juga sudah selesai dan PH akan bertanding di semua 56 Dewan Undangan Negeri (DUN), namun terbuka untuk perbincangan dengan parti pembangkang lain di luar gabungan terbabit.

“Logo kita sudah putuskan yang Keadilan (PKR) guna logo Keadilan (PKR), yang lain-lain guna logo PH. Perbincangan kerusi antara PH juga sudah selesai.

“Yang penting kita bertanding di semua 56 kerusi oleh ketiga-tiga parti (komponen) PH, tapi kita masih buka ruang bincang dengan parti pembangkang lain termasuk MUDA,” katanya yang juga Presiden PKR ketika ditemui media selepas mempengerusikan mesyuarat khas PH berhubung PRN Johor di ibu pejabat PKR di sini, hari ini.

Ditanya jumlah kerusi yang akan diperuntukkan kepada MUDA jika parti diterajui Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman itu setuju untuk bekerjasama dengan PH, Anwar berkata, hal itu akan diputuskan kemudian selepas perbincangan dibuat.

Mengenai kerjasama dengan BERSATU bagi PRN berkenaan, Anwar mempersoalkan sama ada bekas sekutu PH itu yang menyokong UMNO dan PAS bagi penubuhan kerajaan di peringkat Persekutuan selepas meninggalkan pakatan berkenaan, adalah sebahagian parti pembangkang.

“Kita kata pembangkang, BERSATU pembangkang?” jawabnya ringkas sambil memaklumkan satu kenyataan media juga akan dikeluarkan PH berhubung keputusan mesyuarat petang tadi.

Semalam, seorang pemimpin BERSATU Johor mencadangkan supaya Perikatan Nasional (PN) serta semua parti pembangkang yang akan bertanding PRN Johor bergabung dan berpadu tenaga bagi menewaskan Barisan Nasional (BN).

Timbalan Ketua BERSATU Bahagian Johor Bahru, Razrul Anwar Rusli yang mengemukan pandangan itu, turut mencadangkan penubuhan Muafakat Rakyat Johor (MRJ) yang akan dianggotai semua parti berkenaan.

Dalam pada itu, Anwar juga memaklumkan, mesyuarat hari ini hanya memfokuskan mengenai agihan kerusi untuk ditandingi PH dan tidak menyentuh mengenai calon Menteri Besar mewakili pakatan itu jika menang PRN Johor.

Beberapa media hari ini melaporkan, bekas Menteri Pendidikan yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik antara yang disebut-sebut antara calon Menteri Besar Johor seandainya PH menang PRN berkenaan, selain Ahli Parlimen Pulai merangkap Timbalan Presiden AMANAH yang juga penyandang kerusi DUN Simpang Jeram, Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Mengenai kemungkinan penyertaan Parti Warisan Sabah (WARISAN) dalam kerjasama dengan PH pada PRN Johor, Anwar berkata, pihaknya mahu semua parti pembangkang bersatu dan bekerjasama. – BH

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat