KUALA LUMPUR- Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kutipan hasil Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bagi tahun 2021 adalah mencecah RM42.50 bilion, melepasi sasaran awal RM40 bilion yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kewangan.

Bukan itu sahaja, selain kejayaan kutipan hasil, tahun 2021 juga telahmenyerlahkan keunggulan sektor Penguatkuasaan JKDM apabila berjaya menumpaskan kartel pengedaran dadah antarabangsa dengan rampasan dadah seberat 16 tan bernilai RM5.2 bilion.

“Sekalung ucapan tahniah dan terima kasih saya zahirkan kepada seluruh pegawai dan anggota JKDM atas kejayaan cemerlang yang diraih, walaupun kita masih berdepan dengan ketidaktentuan global khasnya ancaman pandemik COVID-19 dan bencana alam.

“Dengan prestasi sebegini, saya amat yakin JKDM akan terus bergerak maju sebagai Economic Frontliners atau Petugas Barisan Hadapan Ekonomi yang berupaya memacu pertumbuhan berkualiti dan positif bagi Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK), ke arah menyuburkan kemakmuran Keluarga Malaysia,” ucap Ismail Sabri.

Sambutan Hari Kastam Sedunia kali ke-40 bagi tahun 2022 ini membawa tema “Memperluas Transformasi Digital Kastam Melalui Pemerkasaan Budaya dan Ekosistem Data.

Perdana Menteri berkata, tema ini adalah amat relevan dengan situasi semasa dan bertepatan dengan usaha memodenkan perkhidmatan serta
operasi JKDM ke arah mencorak persekitaran perniagaan yang kondusif sekali gus memupuk keyakinan dalam kalangan peniaga dan pelabur, sama ada di lapangan domestik mahupun antarabangsa.

Selain daripada itu, ujar beliau anjakan ini adalah selaras dengan aspirasi Jalinan Digital Negara (JENDELA) dan inisiatif Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDigital) yang telah dianjurkan oleh kerajaan ke arah memacu Malaysia sebagai peneraju sektor ekonomi digital yang cekap dan proaktif, seterusnya mencorak sebuah negara bangsa yang berpendapatan tinggi.

” Hasrat menggerakkan transformasi digital dalam perkhidmatan awam ini juga bukanlah suatu perkara baharu yang asing, malah telah digariskan dengan jelas dalam Pelan Strategik Pendigitalan Sektor Awam 2021–2025 ke arah memartabatkan ketelusan dan memperkasa kecekapan dalam urusan perkhidmatan.

” Ia juga telah termaktub dalam Tujuh Teras Strategik Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) serta turut dirangkum dalam memeta hala tuju Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang telah saya lancarkan pada September lepas.

” Justeru, usaha World Customs Organization (WCO) melalui JKDM dalam menghidupkan tema sambutan Hari Kastam Sedunia kali ke-40 ini wajar dipuji dan terus dilaksana kerana inisiatif ini adalah sejajar dengan hasrat kerajaan dalam meningkatkan ranking “Ease of Doing Business” bagi Malaysia, yang seterusnya dapat memangkin pelaburan asing.

” Saya percaya bahawa suntikan transformasi digital melalui pemerkasaan budaya dan ekosistem data dalam urusan perkhidmatan dan operasi JKDM mampu memperkasa prestasi jabatan ini sekali gus mencorak Malaysia sebagai sebuah negara maju yang kompetitif dan berdaya saing,” katanya.

Bahkan kata Perdana Menteri lagi, kerajaan juga sentiasa berusaha membantu JKDM untuk terus fokus dalam membanteras penyeludupan dan
memudahcara perdagangan ke arah meningkatkan pungutan hasil dan memantapkan lagi kawalan sempadan negara.

” Komitmen ini terbukti melalui penambahan bot peronda dan mesin pengimbas sebagai aset baharu JKDM bagi memantapkan kedaulatan perbatasan dan selanjutnya berupaya melancarkan aktiviti perdagangan rentas sempadan.

” Justeru pada 2022 ini, saya berharap agensi ini dapat meningkatkan sasaran pungutan hasil. Ini dapat dihasilkan dengan usaha gigih seluruh warga JKDM dengan kerjasama daripada semua pihak khususnya orang awam,” ucap Ismail Sabri.

Kredit Foto: Utusan Malaysia