KUALA LUMPUR – Seramai 543 pekerja syarikat pengeluar perabot Poh Huat Furniture Industries Sdn Bhd (PHFI) dilaporkan positif Covid-19.
Susulan itu Poh Huat Furniture akan menghentikan sementara operasinya susulan kes positif Covid-19 .
Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, Poh Huat Resources Holdings, berkata seramai 543 pekerja disahkan positif Covid-19 selepas ujian dilakukan ke atas sekitar 1,400 pekerja di semua premis kilang dan pejabat korporat di kawasan perindustrian Bukit di Muar, Johor pada 21 Januari lalu.
Syarikat itu berkata, kumpulan itu mengambil langkah tambahan dengan menggantung sementara semua operasinya di Malaysia bermula 25 Januari hingga 3 Februari atau untuk tempoh tertentu atas nasihat Kementerian Kesihatan (KKM).
Bagaimanapun, operasi kumpulan di Vietnam bebas dari jangkitan COVID-19 dan beroperasi sepenuhnya.
“Penutupan sementara operasi PHFI dijangka menyebabkan penghantaran bagi beberapa tempahan pelanggannya di Amerika Syarikat (AS) terpaksa ditunda.
“Pihak pengurusan ketika ini sedang mengadakan perbincangan dengan pelanggan yang terjejas bagi penjadualan semula penghantaran tempahan berkenaan. Ia dijangka tidak memberi kesan buruk kepada kumpulan,” katanya.
PHFI dijangka dapat mengatasi kelewatan penghantaran mengurangkan memandangkan ia memiliki inventori sedia ada untuk memenuhi beberapa permintaan dan jika perlu, ia juga akan meningkatkan kapasiti pengeluaran dengan melanjutkan shif bekerja selepas aktiviti pembuatan kembali beroperasi.
“Kumpulan juga boleh mengalihkan beberapa tempahan ke anak syarikat di Vietnam jika diperlukan,” katanya.