KOTA KINABALU – Pengundi tinggal di luar daerah mengundi menjadikan gerak kerja kempen calon Pakatan Harapan (PH) N20 DUN Api-Api Thonny Chee agak mencabar.
Menurut Chee, beliau dan jentera berdepan kesukaran apabila perlu keluar dari Api-Api untuk berkempen dan merayu undi memandangkan majoriti pengundi di DUN berkenaan tinggal dan bekerja di luar daerah.
“Bagi saya cabaran yang paling besar sepanjang berkempen ini ialah membabitkan daerah mengundi. Sebab kebanyakan daerah mengundi yang ada di Api-Api ini, pengundinya tidak tinggal dalam daerah mengundi itu.
“Mereka kebanyakan berada luar kawasan, jadi saya kena keluar menyantuni mereka dan pada masa sama, saya kena mematuhi peraturan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)
“Kalau saya pergi begitu saja tanpa kebenaran SPR, itu sudah dikira melanggar peraturan-peraturan SPR,” katanya ketika ditemui pada Selasa.
Pun begitu, Chee tidak menganggap cabaran itu tidak sedikit pun merencatkan usahanya memenangkan DUN Api-Api.
“Cabaran itu memang sentiasa ada lah. Apapun bidang yang kita ceburi, sentiasa ada cabaran,
“Tapi itu perkara biasa dalam dunia,” ujarnya.
Ditanya apa yang beliau akan lakukan di DUN Api-Api sekiranya menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 29 Nov ini, Chee memberitahu banyak perubahan yang akan dibawanya sekira diberikan mandat oleh rakyat.
“Sewaktu program ziarah kasih kami dapati bangunan-bangunan di sini agak daif dan uzur.
“Jadi salah satu keutamaan kita adalah untuk memberikan keselesaan kepada pengundi-pengundi kita.
“Kita mungkin akan bekerjasama dengan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) ataupun pemilik bangunan untuk mengindah, menambah baik kemudahan-kemudahan sedia ada untuk kepentingan penduduk tempatan di sini,” katanya.
Sementara itu, beliau turut memberitahu sepanjang jelajah kempen di DUN Api-Api, majoriti pengundi memberi sambutan hangat dan respon yang sangat baik.



