Lantik KP J-KOM, pegawai kanan dikalangan profesional bukan lantikan politik – Wan Saiful

KUALA LUMPUR – Pelantikan Ketua Pengarah dan pegawai kanan Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) harus dilantik dikalangan penjawat awam profesional bukannya lantikan politik semata-mata.

Ahli Parlimen Tasik Gelugor Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata cadangan itu bagi memastikan integriti J-KOM dikembalikan.

“Bagi memastikan integriti J-KOM dikembalikan, pelantikan Ketua Pengarah dan pegawai kanan perlu diisi oleh penjawat awam profesional, bukan lantikan politik semata-mata.

“Kekosongan wajar diiklankan agar semua profesional yang berkelayakan boleh memohon dan pemilihan dijalankan secara kompetitif.

“Pegawai awam yang terlatih boleh menjamin neutraliti, konsistensi, kestabilan kepimpinan dan objektiviti komunikasi, serta pematuhan etika dan prinsip ketelusan,” saran beliau dalam kenyataan pada Selasa.

Justeru, Wan Saiful menggesa kerajaan, khususnya Kementerian Komunikasi, untuk menilai semula tujuan asas penubuhan J-KOM.

Menurut beliau lagi, J-KOM boleh berperanan sebagai jambatan antara kerajaan dan rakyat. Untuk membina semula kepercayaan rakyat, J-KOM mesti kembali kepada asasnya: profesional, telus, adil dan berkesan.

Wan Saiful berkata demikian merujuk Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) menggesa J-KOM dirombak, mengatakan unit itu gagal menyampaikan mesej kerajaan kepada orang ramai.

Beliau berkata ramai yang terlepas maklumat mengenai dasar-dasar utama kerana capaian dalam talian J-Kom adalah terhad.

Poay Tiong berkata masalah itu jelas nyata dalam output media sosial J-Kom sendiri, mengambil contoh audio siar ketua pengarah yang menurutnya menerima kurang daripada 50 tontonan di YouTube.

“Kalau begitu caranya, kita tidak akan tercapai matlamat kita,” katanya di Dewan Rakyat semasa perbahasan Belanjawan Kementerian Komunikasi, semalam.

Menurut Wan Saiful lagi, beliau mengikuti dengan rapat perbahasan yang dibangkitkan di Dewan Rakyat mengenai prestasi Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) kelmarin.

“Terbaru, kritikan daripada Ahli Parlimen Kota Melaka, yang mempersoalkan kelemahan J-KOM dalam menyampaikan maklumat dan dasar kerajaan kepada rakyat, serta Ahli Parlimen Bagan Serai, yang memberi amaran bahawa J-KOM tidak boleh disalahgunakan sebagai alat propaganda politik kerajaan.

“Isu J-KOM bukanlah baharu. Sejak beberapa tahun lalu, polemik fungsi, peranan, dan keberkesanan J-KOM telah dibangkitkan berkali-kali dalam Dewan Rakyat. Namun, hingga kini, masalah tidak juga selesai.

“Saya merumuskan bahawa semua komen dan kritikan ini adalah bertujuan agar J-KOM kembali kepada fungsi asasnya, iaitu menyampaikan maklumat dengan adil, telus dan berkesan, tanpa bias politik. Keberkesanan J-KOM adalah penting, bukan sahaja untuk kerajaan hari ini, tetapi juga untuk kerajaan-kerajaan yang akan datang,” ujarnya.

Menurut Wan Saiful, amaran Ahli Parlimen Bagan Serai mengenai risiko J-KOM, yang dibiayai oleh wang cukai rakyat, dipergunakan untuk tujuan partisan sehingga menjadi alat propaganda parti politik, perlu diberikan perhatian serius.

“J-KOM telah mengalami tiga kali pertukaran Ketua Pengarah di bawah kerajaan hari ini. Pertukaran yang kerap ini menimbulkan persoalan tentang campurtangan politik dalam proses lantikan.

“Sebagai perbandingan, di United Kingdom juga wujud agensi seumpama J-KOM, iaitu Government Communication Service (GCS).

“GCS menetapkan standard tinggi berkaitan pemilihan dan pelantikan pegawai komunikasi yang bebas daripada pengaruh politik. Standard etika, dan garis panduan operasi yang jelas, menjadi kunci untuk memastikan ketelusan dan akauntabiliti. GCS juga menyediakan laporan berkala kepada Parlimen untuk mengekalkan semak imbang dan ketelusan.

“Model GCS boleh dijadikan panduan untuk membina J-KOM yang profesional, telus dan dipercayai rakyat, sambil mengekalkan fokus kepada dasar kerajaan,” kata beliau.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat