KUALA LUMPUR – Kedah Rubber City (KRC) yang dicanang kononnya dianaktirikan oleh Kerajaan Persekutuan adalah projek kelolaan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) iaitu sebuah agensi di bawah Kementerian Ekonomi, Kerajaan Persekutuan.
Fakta ini sekali gus membuktikan bahawa projek pelaburan kilang tayar ini bernilai dalam RM2 billion lebih ini adalah hasil usaha, perancangan, dan pembiayaan Kerajaan Persekutuan, kata bekas Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli.
“Jadi, bila mereka lagi yang mainkan sentimen ‘Kedah dianaktirikan’, tanya mereka balik: “Kalau benar dianaktirikan, dari mana datangnya projek bernilai billion-billion ringgit seperti ini?”
“Hujah ‘dianaktirikan’ itu hanyalah senjata politik untuk menutup kegagalan dan kelemahan mereka sendiri,” selar Rafizi.
Menurut ahli Parlimen Pandan itu, modus operandi Pas ini kita dah lama tengok: “Kami buat boleh, orang lain buat tak boleh.”
“Isu tulisan Cina di batu asas ini cuma contoh terbaru. Bila di halaman sendiri, mereka cipta seribu dalil. Bila di tempat lain, mereka jadi pahlawan bahasa.
“Isu wayang ini bukanlah yang paling bahaya. Yang lebih bahaya ialah mereka mainkan sentimen rakyat Kedah kononnya dianaktirikan oleh Kerajaan Persekutuan.
Projek yang mereka canang-canangkan ini, Kedah Rubber City, hakikatnya adalah bukti yang menyangkal dakwaan ini.
“Siapa yang kelola projek? Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), sebuah agensi di bawah Kementerian Ekonomi, Kerajaan Persekutuan. Pelaburan kilang tayar ini bernilai dalam RM2 billion lebih.
“Maksudnya, dari awal, projek yang mereka berdiri di depannya untuk ambil gambar ini, adalah hasil usaha, perancangan, dan pembiayaan Kerajaan Persekutuan.
“Inilah ironi yang terbesar. Mereka yang menuduh Kerajaan Persekutuan ‘menganaktirikan’ Kedah, adalah pihak yang paling pantas mencanangkan kejayaan projek yang sebenarnya dibawa dan dibiayai oleh Kerajaan Persekutuan itu,” bidas bekas Timbalan Presiden PKR itu.



