Singgah sabak bernam

- Advertisement -

KEDUDUKAN Sabak Bernam yang terletak di sempadan Perak dan Selangor menjadikannya antara destinasi persinggahan popular.

Malah, daerah itu juga popular dalam kalangan pemancing kerana memiliki ‘port’ menarik baik kelong di laut, muara sungai, ban ataupun tali air di sekitar kawasan itu.

Tidak hanya itu, tarikan lain di Sabak Bernam adalah produk pelancongan agro selain percutian ala desa yang boleh dinikmati peminat konsep percutian berkenaan.

Menurut Koordinator Kanan Pelancongan Agro Sungai Panjang (SPAT), Hairul Reazuan Asmayadi, antara keistimewaan

‘terbaharu’ cuba diperkenalkan di Sabak Bernam adalah mengenai enam produk melon termasuk Melon Selangor atau Melosel yang hanya ada di daerah itu.

“Sabak Bernam baharu sahaja diberi penjenamaan iaitu sebagai kota agropolitan yang mana projek agro diusahakan di sini adalah produk melon sebagai tarikan untuk mereka yang meminati konsep percutian dalam ladang.

“Pengunjung bukan sahaja diberi peluang melawat ladang, malah dapat menghayati kehidupan petani apabila melihat secara dekat aktiviti pertanian di sini.

“Satu yang mungkin berbeza dengan ladang melon yang pernah dikunjungi sebelum ini ialah varian melon yang dinamakan Melosel khas ditanam di sini,” katanya.

 

MELOSEL tarikan utama pengunjung ke Sungai Panjang, Sabak Bernam.
MELOSEL tarikan utama pengunjung ke Sungai Panjang, Sabak Bernam.

 

Tambah Hairul Reazuan, kelebihan dimiliki daerah itu yang ‘dihampari’ sawah padi menghijau juga membuatkan aktiviti berkait dengan lokasi itu juga antara yang boleh dicuba pengunjung.

“Kehidupan penduduk di sini sangat sederhana, malah komuniti terutama kelompok Jawa dan Banjar antara etnik terbesar di sini yang mempunyai budaya tradisi tersendiri.

“Selain menikmati percutian berkonsepkan agro, mereka yang bercuti di sini boleh merasai cara hidup masyarakat di sini.

“Menginap di inap desa di rumah kampung tradisi, belajar penyediaan hidangan orang Jawa dan Banjar selain melakukan aktiviti rekreasi seperti menangkap ikan di bendang mahupun berkayak di ban.

“Malah, jika bernasib baik mereka yang datang atau melancong ke daerah ini boleh menyertai pesta atau acara tahunan diraikan masyarakat di sini setiap tahun,” katanya.

Pakej agro pelancongan di Sungai Panjang, Sabak Bernam diperkenalkan atas dasar memperkasakan komuniti setempat yang rata-ratanya adalah petani dan pengusaha kecil tempatan.

 

AKTIVITI menunggang ATV menyusuri kawasan sawah.
AKTIVITI menunggang ATV menyusuri kawasan sawah.

 

Bagi operator inap desa Nazbell Cottage & Garden, Nabila Shafry melihat konsep agro pelancongan suatu nilai tambah kepada pelancong yang datang ke destinasi terbabit.

“Adanya agro pelancongan ini memberi kelainan kepada produk yang boleh disertai pelancong terutama datang dalam kumpulan besar.

“Sesuai untuk rombongan pelajar, pesara atau juga pelancong luar terutama luar negara merasai gaya hidup ladang di sini.

“Mengusahakan inap desa dan tinggal di sini membuatkan pengenalan produk percutian di ladang suatu yang mampu menaik taraf hidup penduduk terutama petani apabila mereka dapat jana pendapatan lain selain hasil pertanian.

“Mereka juga lebih peluang dan inisiatif untuk menaik taraf ladang supaya landskap sesuai dibangunkan bagi menarik pengunjung,” katanya.

Sementara itu, aktiviti boleh disertai ketika menginap di inap desanya adalah menunggang kenderaan rupa bumi (ATV), memancing, berbasikal, menaiki tram dan banyak lagi.

“Kapasiti kami ketika ini hanya mampu menampung 25 hingga 30 orang berdasarkan tiga bilik yang ada dan dalam perancangan menambah sembilan bilik lagi,” katanya.

 

PEMANDANGAN senja di Sungai Panjang, Sabak Bernam.
PEMANDANGAN senja di Sungai Panjang, Sabak Bernam.

 

Sementara itu, Pengerusi SPAT dan Pengerusi Majlis Perwakilan Komuniti Kampung (MPKK) Parit 9, Sabak Bernam, Mohd Zamri Jamil berkata, 30 operator termasuk 16 petani terbabit dalam usaha merancakkan industri pelancongan di Sabak Bernam.

“Sejak Jun lalu, kami menerima lebih 500 pelancong membabitkan agensi dan rombongan dari pelajar dan pelancong tempatan.

“Terbaharu kami terbabit dalam penganjuran Karnival Ban Canal dengan pelbagai agensi. Aktiviti air di ban ini membabitkan komuniti setempat.

“Kami berharap ia membantu merancakkan lagi industri pelancongan berasaskan desa dan pertanian menjadi nadi utama Sabak Bernam.

“Diharap inisiatif SPAT membantu penduduk untuk menjana pendapatan tambahan kerana sebelum ini mereka yang hanya bergantung kepada hasil jualan pertanian atau produk desa,”katanya.

Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat