Adaptasi ikut era muzik

- Advertisement -

BERADAPTASI dengan waktu, penyanyi lagu Lelaki Ini, Anuar Zain memilih untuk mengikut arus peredaran zaman dalam memacu hala tuju kerjaya seninya.

Jika sebelum ini Anuar dilihat sebagai penyanyi yang muncul dengan album, kini dia sedar hakikat bahawa ini adalah masa terbaik untuknya menghadirkan karya berbentuk single.

“Saya tukar prinsip saya yang mana kalau dulu saya lebih berikan tumpuan untuk terbitkan album. Tapi, kini bila difikirkan semua, dunia semakin maju dan banyak perbezaan yang berlaku.

“Saya juga perlu beradaptasi dengan perubahan era industri muzik hari ini, di mana hakikatnya sukar untuk menjual album.

“Kadangkala apa yang kita rasakan relevan pada ketika itu, sudah tidak lagi relevan pada masa sekarang. Jadi, saya beradaptasi dengan situasi. Sekiranya ada rezeki, baru saya keluarkan album,” katanya.

Untuk itu, Anuar kini menantikan karya terbaharunya yang masih dalam proses pembikinan.

“Untuk lagu baharu buat masa sekarang, saya menantikan dua karya daripada sahabat saya di Indonesia. Melodinya sudah siap, begitu juga lirik. “Cuma akan ada beberapa perubahan sedikit dan harapnya ia dapat menjadi satu karya berkualiti,” katanya.

Ditanya sama ada dia bakal bereksperimen dalam muziknya untuk karya kali ini, Anuar yang amat dikenali sebagai penyanyi yang begitu sayangkan peminatnya akan terus menyajikan karya mengikut selera mereka.

“Sebelum ini saya dah pernah cuba bereksperimen dalam karya muzik yang saya bawakan. Tapi, di penghujung hari semuanya berbalik kepada kepuasan diri saya sebagai penyanyi dan kepuasan peminat.

“Sekarang saya nak berikan karya yang sudah dijangka peminat. Bunyinya mungkin agak ‘klise’, namun orang ramai dah boleh menjangkakan muzik dan cara nyanyian saya yang tersendiri.

“Saya akan teruskan dengan karya yang seperti mana mereka (peminat) mahukan. Pada masa sama, saya juga berharap dapat mencuri perhatian peminat baharu memandangkan kita hidup dalam zaman media sosial,” katanya.

Mula mencipta nama sejak zaman kanak-kanak, Anuar juga beradaptasi dengan masa menerusi penggunaan media sosial seperti TikTok.

“Kalau bercakap mengenai media sosial, saya berpendapat bahawa ia adalah platform yang sangat efisien sekiranya kita gunakannya dengan cara betul.

“Contohnya TikTok, ia boleh mencapai banyak penonton bukan saja golongan muda, tetapi juga warga emas. Guna dengan cara positif, contohnya untuk bina perniagaan, kembangkan bakat dan kongsi maklumat.

“Saya memilih menggunakan media sosial seperti TikTok untuk kongsi maklumat serta beberapa perkara lain seperti persembahan saya, sesi latihan dan sebagainya dalam bentuk video pendek,” katanya. Bagaimanapun, Anuar tetap memegang etika, di mana setiap pengumuman perlu menerusi rakan media yang membantu menaikkan nama dan kerjaya seninya sejak awal kemunculan.

“Apa pun, saya mungkin lebih sukakan cara lama untuk umumkan sesuatu iaitu dalam bentuk sidang media dulu, kemudian baru saya umumkan di TikTok.

“Ia adalah etika kerja saya, di mana saya rasa, menyentuh hati secara berhadapan adalah lebih berkesan. Saya suka untuk berjumpa rakan media sekiranya ingin umumkan sesuatu sebab perasaan dirasakan berbeza.

“Saya nak kekalkan etika itu (bertemu media). Kalau sekadar bercakap di hadapan skrin, maklumat mungkin sampai, tetapi perasaan dan jiwanya tidak ada,” katanya.

Apa yang pasti, Anuar mengakui dia kini dalam proses merancang sesuatu yang istimewa untuk disajikan kepada peminat pada tahun hadapan.

Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat