Khir hanya mampu jual bakat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Akur dirinya bukan dalam kategori jejaka kacak, aktor berkaliber, Khir Rahman, 49, bersyukur memiliki bakat dan suara yang boleh ‘dijual’.

Mula berkecimpung dalam dunia lakonan sejak tiga dekad lalu, Khir tidak menyalahkan penerbit termasuk stesen televisyen (TV) yang cenderung memilih pelakon bersandarkan rupa berbanding bakat, seperti yang hangat diperkatakan, baru-baru ini.

Berkongsi pandangan mengenai isu itu, Khir mengaku semua orang suka melihat sesuatu yang cantik, namun, baginya bakat tidak harus dipandang remeh.

Khir yang juga anak penyanyi pop yeh yeh terkenal, Allahyarham Datuk A Rahman Hassan mengaku atas bakat dimiliki, dirinya lebih menyerlah dalam dunia perfileman, berbanding televisyen (TV).

“Saya memulakan karier dalam dunia lakonan pada usia 19 tahun. Tetapi saya memberontak dan tinggalkan pentas lakonan ketika berumur 25 tahun.

“Pada usia 30 tahun, saya kembali dan mencuba nasib dengan menghantar permohonan kepada ramai penerbit televisyen (TV), namun, gagal.

“Bagaimanapun, saya dipanggil untuk menyertai produksi filem Puteri Gunung Ledang (PGL), diikuti Bilut, Gubra, Rock dan Merong Mahawangsa hingga dilabel pelakon ‘method’,” katanya.

Khir memberitahu, dia tidak pernah meletakkan label seumpama itu kepada dirinya, namun semuanya datang secara kebetulan.

“Orang tuduh saya tidak buat untuk TV. Soalnya, bukan saya tidak mahu tetapi rezeki lebih menjurus kepada filem.

“Sesekali saya muncul di TV, tetapi watak diberi berat dan bermain air mata.

“Perkara itu membentuk karier saya secara tidak langsung. Rata-rata watak ditawarkan menuntut saya berkarakter,” katanya.

Ditemui pada majlis tayangan mega drama penyiasatan seram, Hilang, untuk siaran Viu di ibu negara, baru-baru ini, Khir mengaku pernah ditanya bagaimana mengekalkan relevansi dalam dunia lakonan biarpun wajahnya tidak dilihat ‘bersepah’.

“Saya katakan kepada mereka semua orang boleh berlakon. Semua orang boleh pergi kelas lakonan, tetapi saya tidak boleh jamin rezeki mereka dipermudahkan.

“Ada pelakon yang terpaksa bermula daripada drama jam 7 malam seperti Fattah Amin dan perlahan namanya menjadi besar.

“Saya tidak memilih, tetapi rezeki membentuk perjalanan kerjaya seni saya,” katanya.

 

Khir bersama barisan pelakon drama penyiasatan bergenre seram, Hilang. - NSTP/Rohanis Shukri
Khir bersama barisan pelakon drama penyiasatan bergenre seram, Hilang. – NSTP/Rohanis Shukri

 

Berkongsi peluang diberi Viu untuk menerajui drama Hilang arahan Ghaz Abu Bakar dan Sein Qudsi, Khir menganggap peluang seumpama itu tidak mungkin diraih untuk platform TV.

Khir teruja dengan kewujudan platform Over The Top (OTT) seperti Viu yang memberi kebebasan kepada anak seni berkarya tanpa meletakkan syarat termasuk dalam aspek rupa pelakon.

“TV tidak sukakan kebenaran, sebaliknya cenderung dengan anganan sehingga budaya TV terbawa-bawa ke dalam filem.

“Saya lihat apa yang penting adalah cantik dan kacak serta jalan cerita yang laju.

“Drama terbitan Viu berbeza kerana mereka mengutamakan jalan cerita. Kita masih mendidik masyarakat kepada naskhah sebegitu.

“Namun, pada masa sama, kita tidak boleh membuang naskhah ringan kerana ada orang menyukainya bagi melepaskan tekanan selepas seharian di pejabat,” katanya.

Hilang mengisahkan Inspektor Munir lakonan Khir yang juga penduduk asal Seri Daik, kembali ke kampung halamannya selepas 17 tahun.

Kepulangan Munir adalah untuk menyiasat kes pembunuhan seorang remaja perempuan.

Munir bertemu guru agama dikenali sebagai Yusof lakonan Aqasha yang pernah dituduh Munir punca kematian adiknya dalam sesi rawatan.

Bagaimanapun, Yusof percaya pelakunya bukan datang dari dunia ini. Apabila seorang lagi remaja hilang secara misteri, Munir dan Yusof terpaksa bekerjasama untuk merungkai kejahatan yang membelenggu Seri Daik.

Selain Khir dan Aqasha, Hilang dibintangi Siti Saleha dan Jasmine Suraya. Drama bersiri itu menemui penonton setiap Khamis pada jam 9 malam melalui platform Viu.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,480FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat