PM Terima “Report Card” Menteri Sempena 100 hari Pentadbiran

KUALA LUMPUR- Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah menerima “kad laporan” daripada seluruh kementerian sempena 100 hari pentadbiran kerajaan pimpinannya.

Menurut beliau semalam 24 November,
semua Menteri Kabinet mengemukakan pencapaian kementerian yang diterajui mereka dalam tempoh 100 hari bersempena dengan Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM).

“Dalam sesi “Report Card Day” di Bangunan Parlimen hari ini (semalam), saya bersama Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Zuki Ali, telah menerima kad laporan daripada seluruh Kementerian.

“Alhamdulillah, terima kasih saya ucapkan kepada semua di atas kerjasama yang diberikan.

“Seperti yang sering saya tekankan sebelum ini, setiap kementerian mestilah mengekalkan prestasi kerja yang tinggi setiap masa,” kata Ismail Sabri dalam catatan di Facebooknya.

Perdana Menteri mengingatkan, rakyat sentiasa menilai sama ada sasaran yang diletakkan kepada setiap menteri berjaya dicapai ataupun tidak.