Jurang Digital: Apakah Usaha Kerajaan Malaysia?

- Advertisement -

Dari akhir abad ke-20 hingga awal abad ke-21, terdapat kemajuan teknologi yang sangat luar biasa. Persoalannya, adakah semua orang berada di dalam “kapal” yang sama?

Kofi Annan, bekas Setiausaha Agung PBB berkata: “Teknologi maklumat dan komunikasi bukanlah formula mujarab atau sihir, tetapi kedua-duanya dapat meningkatkan kehidupan semua orang di planet ini“.

Jurang digital merujuk kepada pemisahan yang wujud di antara mereka yang menggunakan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) dan mereka yang tidak. Di dalam artikel ini, anda akan mempelajari lebih lanjut mengenai konsep ini, bersama dengan masalah yang timbul dan cara-cara penyelesaiannya.

Inovasi teknologi biasanya tidak disebarkan oleh sistem. Ia tersebar melalui kecendurungan si pengguna; manusia. Bukan semua syarikat atau orang adalah pengguna. Malah, jika berstatus pengguna sekalipun, mereka mungkin sekadar pengguna asas, tanpa kebolehan mengoptimakan inovasi teknologi yang diguna. Selain itu, perbezaan budaya dan ekonomi sesebuah negara memberi peratusan akses ICT yang berbeza.

Kepesatan ICT jika disertai dengan cerdik IT di kalangan rakyat, bakal membuka pintu untuk pengembangan dan keselesaan yang lebih luas dalam semua aspek rutin harian kita. Ini adalah kerana teknologi adalah alat utama untuk pembangunan dan kemajuan kehidupan manusia.

Untuk memahami erti jurang digital, kita boleh lihat ketidaksamaan yang sangat ketara dalam akses ke peralatan dan infrastruktur, atau disebut sebagai jurang digital pertama. Selain itu, sejauh manakah tahap penguasaan kita terhadap teknologi diklafikasikan sebagai jurang digital kedua.

Kita perlu memahami bahawa halangan yang paling sukar tidak berkaitan dengan akses, tetapi penggunaan. Ini kerana inovasi teknologi bergantung kepada kesannya terhadap kehidupan orang dan bagaimana mereka menggunakannya. Oleh itu, sangat penting bagi setiap individu untuk tahu menggunakan teknologi, bergantung pada keperluan dan minat mereka.

Akses internet sahaja tidak mencukupi, kerana kita harus mempunyai kemahiran digital yang diperlukan untuk kehidupan peribadi dan kerjaya, terutamanya dalam masyarakat yang menghargai pengetahuan dan maklumat.

Satu perkara yang perlu diberi perhatian adalah mengenai berbezaan peratusan mengikut jantina dalam soal kemahiran digital. Walaupun jurang digital pertama mempunyai komponen generasi dan pendidikan yang jelas, jurang digital kedua dilihat mempengaruhi kebanyakan wanita. Oleh itu, keprihatinan mengenai perbezaan jantina apabila kita berbicara soal komputer dan penggunaan Internet semakin meningkat. Malangnya, ia sukar untuk diselesaikan.

Dari perspektif sosial, apabila ada kawasan berpenduduk tidak mempunyai akses ke semua teknologi penting, ketidaksamaan ekonomi dan sosial akan timbul. Jurang makin nyata apabila kawasan yang sedia ada jauh lebih maju capaian ICT, berbanding kawasan yang tercicir; terus keciciran.

Begitu juga, terdapat dua golongan yang wujud akibat jurang digital dan situasi ini mempengaruhi pasaran buruh:

  • Orang yang mempunyai akses penuh ke teknologi.
  • Mereka yang tidak dapat mengaksesnya kerana sukar, mahal, atau mustahil.

Perbezaan ini bukan sahaja dapat dilihat melalui perbandingan antara negara, tetapi juga di antara bandar dalam satu negara yang sama.

Oleh itu, negara yang tidak dapat memanfaatkan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) kehilangan daya saing. Sebagai tambahan, perbezaan antara mereka yang mempunyai akses dan mereka yang tidak di dalam negara yang sama mewujudkan jurang baru dalam pasaran buruh.

Dalam berhadapan dengan jurang digital, apakah inisiatif-inisiatif yang diambil oleh kerajaan Malaysia?

Kerajaan telah membuat keputusan untuk memperkasa Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) sebagai teras ‘membangunkan infrastruktur digital,’ yang mana sejumlah RM21 bilion diperuntukkan oleh pihak kerajaan dan swasta bagi melaksanakan Jendela untuk memantapkan kesalinghubungan sedia ada di seluruh negara. Secara keseluruhan pelaksanaan JENDELA ini akan menjadikan Malaysia lebih berdaya saing di peringkat Global, mantap, berdaya tahan dan masyarakat berasaskan digital. Di antara beberapa perkara yang menjadi fokus utama adalah pendidikan dan produktiviti, perniagaan, kerajaan dan perkhidmatan berasakan industri dan komuniti dan masyarakat.

Melalui PEMERKASA, kerajaan telah mengambil langkah proaktif untuk mengurangkan jurang digital apabila memperuntukkan RM2 Bilion dibawah Program Jalinan Prihatin untuk pembelian peranti komunikasi, khusus untuk isi rumah yang mempunyai anak sekolah. Inisiatif ini memberi peluang kepada anak-anak untuk terdedah kepada kepesatan teknologi, dan kebolehupayaan untuk mengendalikan teknologi.

Kedua, inisiatif Kumpulan Wang Pemberian Perkhidmatan Sejagat menyediakan RM3.2 Bilion untuk menaiktaraf stesen pemancar sedia ada, dan menyediakan capaian optik kepada rakyat. Meluaskan kawasan liputan sangat penting, untuk memastikan kawasan-kawasan berpopulasi menerima akses kepada maklumat dan teknologi.

Selain itu, Program MyBAIKHATI, inisiatif ‘crowdsoucing’ peranti dijangka akan menambahkan lagi peranti untuk kegunaan di Pusat Internet Komuniti dan pertubuhan komuniti sasaran.

Umum sedia maklum bahawa negara sedang ke arah rangkaian 5G, yang dijangka akan memberikan mutu perkhidmatan dan kelajuan sesuai dengan keperluan semasa.
Dengan inisiatif-inisiatif yang sedang dan akan dijalankan, kita berharap agar juang digital di Malaysia mampu dikurangkan.

Sedang negara dilanda pandemik COVID-19, norma baharu dalam kehidupan menjadikan jalinan digital di dalam negara sangat penting. Keupayaan negara dalam memastikan setiap rakyat mendapat akses peralatan dan liputan bakal memberi impak yang positif untuk negara dalam usaha keluar dan pasca pandemik.

Tidak hairanlah jika inisiatif-inisiatif tersebut juga tersenarai di antara inisiatif Pelan Pemulihan Negara.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat