SINGAPURA: Pihak berkuasa mengusir 15 warga Bangladesh dari republik ini kerana memuat naik hantaran berunsur hasutan, keganasan atau mencetuskan rusuhan berkaitan serangan pengganas di Perancis baru-baru ini.
Kementerian Dalam Negeri, dalam satu kenyataan, berkata agensi keselamatan Singapura berwaspada sejak awal September lalu dan hasilnya, mereka berjaya mengambil tindakan awal terhadap warga Bangladesh berkenaan.
Perancis juga kini berwaspada ekoran serangan pengganas beberapa minggu lalu, termasuk kes kepala seorang guru dipenggal kerana menunjukkan karikatur Nabi Muhammad kepada pelajar dan serangan di gereja dekat Nice.
Susulan tragedi di Perancis itu, Presidennya, Emmanuel Macron, dilihat masih mempertahankan hak menerbitkan kartun berkenaan, sekali gus mencetuskan tunjuk perasaan di negara majoriti Islam termasuk di Bangladesh.
Kementerian Dalam negeri Singapura menjelaskan, warga Bangladesh yang diusir itu kebanyakannya adalah buruh binaan yang memuat naik hantaran menghasut keganasan atau mencetuskan rusuhan bagi membalas tindakan Macron.
Bagaimanapun, pihak berkuasa tidak mendedahkan kandungan sebenar hantaran yang dimuat naik di media sosial.
Majoriti penduduk di Singapura adalah berketurunan Cina dan negara itu juga mempunyai penduduk minoriti Islam yang agak besar.
Terdapat lebih 300,000 pekerja asing bergaji rendah di republik itu, kebanyakannya dari negara Asia Selatan, dalam pelbagai sektor industri termasuk pembinaan. – AFP