Kursus Penguatkuasaan Jenayah Siber Perkukuh Kapasiti Agensi Penguat Kuasa Negara

CYBERJAYA, – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kuala Lumpur hari ini melancarkan Kursus Penguatkuasaan Jenayah Siber, bersempena Majlis Penutupan Inter-Agency Retreat on Cyber Crimes 2025.

Pelancaran kursus disempurnakan oleh Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, yang menegaskan komitmen kerajaan untuk memperkukuh kesiapsiagaan negara menghadapi ancaman jenayah siber yang semakin kompleks dan merentas sempadan.

Menurut MCMC, pada tahun 2024 purata kos ketirisan data di rantau ini dianggarkan melebihi USD3 juta (RM12.7 juta), manakala kerugian akibat penipuan di Asia mencecah USD688.4 bilion (RM2.91 trilion) dengan seorang daripada dua rakyat berdepan cubaan penipuan setiap bulan.

Di Malaysia, sejak 2022 MCMC telah menyekat 2.2 bilion panggilan meragukan dan 2.2 bilion SMS tidak diminta, menamatkan 185,499 talian mencurigakan, serta mengemukakan 12,001 permohonan penurunan kandungan penipuan pelaburan.

Kursus yang dibangunkan ini merupakan inisiatif strategik MCMC dan PDRM bagi mempertingkat keupayaan pegawai penguat kuasa dalam aspek penyiasatan, pengumpulan bukti digital, pengurusan kes, serta pelaksanaan tindakan undang-undang.

Ia juga merupakan kesinambungan kepada Perjanjian Persefahaman yang ditandatangani pada 11 Mac 2024, yang menumpukan kepada pembangunan kapasiti siasatan dan penguatkuasaan jenayah siber.

Kerjasama antara kedua-dua agensi ini turut meliputi pelaksanaan beberapa operasi besar seperti Op Pedo 1 (Disember 2024), Op Pancing (September 2025) dan Op Pedo 2 (September 2025).

Kursus berkenaan akan mula dilaksanakan pada tahun hadapan dengan tumpuan kepada modul latihan standard untuk pegawai penguat kuasa pelbagai agensi kerajaan, disertai kepakaran pelbagai agensi keselamatan siber di peringkat nasional.

Inisiatif ini diharap dapat membentuk barisan penguat kuasa yang bersepadu dan responsif dalam menghadapi ancaman siber di Malaysia.

Foto:

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil (tengah) bersama Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, Ketua Polis Negara, IG Dato’ Sri Mohd Khalid Ismail, Peguam Cara Negara, Dato’ Suzana Atan, dan Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din pada majlis pelancaran kursus di Melaka.

author avatar
Azie Saharuddin
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat