JOHOR BAHRU, – Kerajaan Negeri Johor menyeru para usahawan dan perusahaan kecil serta sederhana (PKS) supaya bersiap sedia merebut peluang besar yang bakal tercipta menerusi Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ).
Menurut kenyataan kerajaan negeri, JS-SEZ yang meliputi kawasan seluas 3,500 kilometer persegi dijangka menarik limpahan pelaburan baharu dalam pelbagai sektor strategik termasuk teknologi, pembuatan, logistik, digital dan perkhidmatan profesional.
Usahawan serta PKS digesa memperkukuh kemahiran dan adaptasi teknologi bagi menepati keperluan pelabur antarabangsa, sejajar dengan penubuhan Pusat Memudahcara Pelaburan Malaysia di Johor (IMFC-J) yang bertujuan mempercepatkan proses pelaburan dan memperluas kerjasama rentas sempadan.
Kerajaan Negeri turut menekankan bahawa pelabur JS-SEZ perlu menyokong pembangunan keusahawanan tempatan melalui program latihan, bimbingan serta penyertaan dalam rantaian bekalan bagi memastikan manfaat pelaburan dapat dinikmati oleh rakyat Johor secara menyeluruh.
Dalam masa sama, Sidang Kemuncak dan Ekspo Perniagaan Johor (JBSE) 2025 yang berlangsung selama dua hari di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor menjadi platform penting untuk PKS dan pemain industri negeri ini meneroka pasaran baharu serta mengukuhkan jaringan strategik ke arah penembusan pasaran global.
Majlis perasmian JBSE 2025 telah disempurnakan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, dengan kehadiran Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Asman Shah Abd. Rahman, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah, serta Ketua Pegawai Eksekutif PUJB, Haji Mohamad Radif Kosnin.
Acara itu dianjurkan oleh Perbadanan Usahawan Johor Sdn. Bhd. (PUJB) dengan kerjasama Kotler Impact Asia, dan bakal menjadi pemangkin kepada kerjasama, inovasi serta pertumbuhan ekonomi Johor sebagai hab perniagaan terkemuka rantau ini.



