KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Akmal Saleh hari ini mengarahkan seluruh Pemuda Umno Perak membuat laporan polis terkait insiden kibar bendera China di pekarangan Menara Condong, Teluk Intan.
Beliau melahirkan rasa kesal dengan tindakan berulang seolah-olah tidak menghormati sensiviti rakyat Malaysia.
“Dah lah, cukuplah asyik kita saja yang kena bersabar. Rakaman video tular itu berlaku pada 24 Oktober 2024 yang dikhabarkan berlaku di Teluk Intan.
“Apa kejadahnya nak buat perarakan di tempat awam dahla tak ada permit angkat lagi bendera China, (apatah lagi) tak ada satu pun bendera Malaysia di situ, cukup-cukuplah. Hari itu dah berlaku dalam sekolah, hari ini nak bawa bendera China berarak di luar pula.
“Pengerusi Persatuan Kebudayaan Guan Dong iaitu orang yang menganjur ni minta maaf. Cukuplah, cukup, cukuplah untuk minta maaf.
“Hari ini saya akan mengarahkan seluruh Pemuda Umno dalam negeri Perak untuk buatkan laporan polis bagi minta polis siasat dan kita caj (dakwa) mereka ini dan kenakan hukuman mereka ini dengan hukuman yang seberat-beratnya, dahlah janganlah bermain dengan sensitiviti yang berada dalam negara kita,” desak Akmal dalam video yang dimuat naik di platform Facebooknya pada Jumaat.
Susulan tindakan itu, beliau yang juga Adun Merlimau menuntut kerajaan mengenakan tindakan undang-undang yang keras kepada penganjur dan peserta perarakan berkenaan.
“Cukuplah dan saya nak minta juga pihak polis untuk siasat dan minta juga pihak kerajaan untuk kenakan tindakan undang-undang yang keras pada mereka ini supaya boleh menjaga sensitiviti antara orang Malaysia ni.
“Tolonglah, jangan dah buat nak minta maaf, buat minta maaf.
“Kita dah muak, dah bosan, kita (minta) kenakan tindakan, kita minta polis buat siasatan dan kita kenakan tindakan yang seberat-beratnya kepada mereka ini, dahlah, cukuplah asyik kita saja yang kena bersabar,” kata Akmal.