Pendaftaran perkahwinan sivil tidak libatkan ritual agama, Menteri KDN cuma Timbalan Pendaftar Perkahwinan – JPN

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tampil memperjelas kontroversi merujuk video yang sedang tular di media sosial dan aplikasi WhatsApp ketika ini mengenai Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sedang mendaftarkan perkahwinan sivil pasangan bukan Muslim di Pejabat JPN Putrajaya sempena Majlis Sambutan Jubli Intan JPN yang diadakan pagi tadi.

JPN menegaskan, video tersebut merupakan rakaman di mana Menteri KDN telah dijemput oleh JPN untuk merasmikan Majlis Sambutan Jubli Intan Jabatan pada hari ini.

Jelas jabatan itu, antara pengisian program adalah mendaftarkan perkahwinan sivil dua pasangan yang telah dipilih oleh JPN.

“JPN merupakan agensi yang bertanggungjawab melaksanakan pendaftaran perkahwinan sivil serta merekodkan maklumat perkahwinan dan perceraian bagi bukan Islam selaras dengan Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian)
1976 [Akta 164].

“Berdasarkan Akta ini, Menteri Dalam Negeri merupakan Menteri yang bertanggungjawab bagi pendaftaran perkahwinan sivil yang mana membolehkan beliau melakukan pendaftaran perkahwinan pasangan bukan Islam.

“Selain Menteri KDN, Ketua Pengarah Pendaftaran Negara, Timbalan Ketua Pengarah Pendaftaran Negara, Pengarah Bahagian Perkahwinan dan Perceraian, Pengarah Pendaftaran Negeri serta pegawai dan kakitangan JPN yang bertugas di Bahagian Perkahwinan dan Perceraian sebagai Timbalan Pendaftar Perkahwinan turut diberikan kuasa tersebut,”jelas JPN dalam kenyataan pada Rabu.

Justeru, JPN ingin menegaskan sesi pendaftaran perkahwinan yang dijalankan di JPN adalah berlandaskan undang-undang sivil di bawah Akta 164. Proses pendaftaran Perkahwinan Sivil tersebut tidak melibatkan, tidak menyerupai, tidak melambangkan dan tidak dipengaruhi dengan mana-mana ritual keagamaan atau adat sesuatu kaum.

“Lafaz ikrar yang dituturkan oleh pendaftar adalah perkataan yang terkandung dalam Seksyen 23, Akta 164 yang berbentuk keterangan sifat perkahwinan sivil semata-mata.

“Ianya juga persetujuan dan kesanggupan pasangan menerima perkahwinan tersebut dengan rela hati tanpa paksaan dari mana-mana pihak. Malah sesi pendaftaran Perkahwinan Sivil dengan Menteri ini diadakan sebagai acara istimewa untuk
pasangan terpilih ketika sambutan Hari Pendaftaran Negara setiap tahun.

“Orang ramai perlu berhenti menyebarkan maklumat yang tidak benar dan meneliti setiap berita yang dibaca dan diterima bagi memastikan ketenteraman awam negara terus terpelihara.

“Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan orang ramai boleh menghubungi JPN di talian 03-8880 7077 atau emel ke [email protected],” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat