Usahawan Produk Bebola Raih Pendapatan RM500,000 Sebulan – AIM

- Advertisement -

KINABATANGAN – Sebelas tahun lalu usahawan ini hanya meraih RM500 sebulan. Nanum hari ini, beliau mampu menjana pendapatan sehingga enam angka setiap bulan hasil jualan bebola daging dan bebola ayam.

Malah hasil jualan produk keluaran beliau yang sebelumnya hanya dipasarkan di kedai-kedai runcit dan restoran sekitar Kinabatangan, juga telah berada di semua pasaraya di seluruh negeri Sabah dan Semenanjung.

Bukan itu saja, hasil jualan pelbagai produk syarikat yang berpengkalan di Kampung Paris Tiga, Kinabatangan ini juga mencecah RM500,000 setiap bulan berbanding hanya RM50,000 setahun sebelumnya.

Itulah kejayaan Yanong Latuka, 65, pemilik dan pengasas Hajah Yanong Industries Sdn Bhd dan Hajah Yanong Frozen Food Enterprise yang mengusahakan produk bebola daging dan ayam serta lebih 30 produk makanan dan minuman lainnya.

Yanong kanan bersama pekerja sedang memproses produk tauhu bakso di kilangnya

Menurutnya, beliau kini memiliki dua buah kilang pemprosesan makanan iaitu yang pertama di Kampung Paris Tiga yang dibina tahun 2012. Manakala kilang keduanya terletak di Kompleks Usahawan SME, Lokkawi (sewa) yang mula beroperasi sejak 2014 lalu.

Ini adalah hasil usaha dan perancangan strategik sepanjang 14 tahun berkecimpung dalam perniagaan ini, termasuk memiliki sebuah premis jualan produk makanan beku di Kampung Paris Tiga.

Kami juga memiliki “central kitchen” di Penampang bagi membekalkan produk makanan ke lima kiosk atau gerai makanan milik kami yang terletak di Pekan Donggongon, Bundusan, Likas, Kepayan dan Lokkawi.” katanya ketika ditemui di kilang di Kampung Paris 3, di sini.

Menceritakan pembabitan awalnya dalam perniagaan ini, ibu kepada tujuh cahaya mata ini berkata, semuanya bermula dengan pinjaman awal daripada Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), berjumlah RM1,000 pada penghujung tahun 2011 lalu.

Bermula dari situ, beliau memulakan pembuatan bebola daging dan ayam secara komersial dan pasaran ketika itu hanya tertumpu di kedai-kedai runcit serta restoran sekitar Kinabatangan.

Pada mulanya, produksi kami cuma satu tan sebulan memandangkan peralatan dan tenaga kerja yang terhad sebelum menambah pinjaman sehingga mampu mengeluarkan sehingga 25 tan setiap bulan pada hari ini,” katanya.

Yanong berkata, rahsia kejayaannya adalah usaha kerja keras tanpa putus asa yang disusuli dengan perancangan strategik pemasaran termasuk penjagaan kualiti serta harga produk yang kompetitif.

“Saya masih ingat lagi pada awal usaha ini, saya bersama anak-anak seramai enam orang pada masa itu bersama membuat bebola daging dan ayam secara manual dengan menggunakan tangan kerana tiada peralatan mesin.

“Kami hidup susah ketika itu…ayah cuma kerja kampung malah rumah kami juga usang hingga kami pernah dirompak kerana rumah kami tidak ada dinding dan hanya berlapiskan kanvas.

“Dari situ, kami bertekad mengubah kehidupan agar lebih baik dan melalui Amanah Ikhtiar Malaysia sebagai pihak yang banyak membantu selama ini, kami berjaya mencapai kejayaan pada hari ini.” katanya.

Yanong berkata, mereka mensasarkan untuk mengembangkan lagi perniagaan keluarga ini dengan membina sebuah kilang lebih besar bagi menambah pengeluaran produk sehingga 70 tan sebulan pada masa depan.

Katanya, di bawah perancangan itu, beliau yakin pengeluaran hasil produk mampu meningkat sehingga RM1 juta sebulan berbanding pendapatan sebelum ini.

“Kami sedang mencari lokasi baharu bagi pembinaan kilang yang lebih besar bagi memenuhi permintaan
pasaran termasuk permintaan dari luar negara khususnya negara-negara di Timur Tengah.

“Sebagai persediaan, kami kini memiliki sebuah mesin pengawet makanan (retort) berharga RM250,000 yang mampu memproses sehingga 3,000 pek makanan sehari, sekaligus memudahkan pengeluaran produk kami.

“Pada masa sama, perkhidmatan ini turut kami kongsikan dengan usahawan lainnya di Sabah khususnya yang mahu memulakan pengeluaran produk makanan segera sebagaimana kami lakukan hari ini,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat