‘Papa turunkan ilmu bikin filem’

- Advertisement -

IPOH: Allahyarham Mamat Khalid sempat menurunkan ilmu perfileman kepada anak keempatnya, Mohd Khalid Amen ketika mereka menjayakan program dokumentari berjudul Journey To Stardom, baru-baru ini.

Berkongsi detik itu, Mohd Khalid Amen, 25, berkata biarpun sekadar pengisian untuk program terbabit, namun, dia merasakan ada sesuatu yang berlaku kepada arwah di sebalik tindakannya itu.

“Saya mula sedar bagai ada sesuatu yang bakal berlaku kepada Papa ketika kami menyiapkan program dokumentari itu.

“Papa bersungguh-sungguh menurunkan ilmu perfileman seperti proses penggambaran, karakter, penulisan skrip, muzik dan pelbagai aspek penting lain.

“Walaupun sekadar program, namun dokumentari itu sangat bermakna buat kami. Ia bukan sahaja berkaitan ilmu, malah, memaparkan hubungan antara bapa dan anak,” katanya kepada BH Online.

Menceritakan detik terakhir bersama pengarah filem Zombie Kampung Pisang dan Hantu Kak Limah Balik Ke Rumah itu, Mohd Khalid Amen berkata, insiden mengejutkan itu berlaku sekelip mata.

“Saya baru sampai dari Kuala Lumpur dan terus menuju Sarang Art Hub. Saya lihat, Papa begitu seronok bersama kawan-kawan.

“Papa kemudian bermain keyboard dan membawakan lagu Apokalips yang juga lagu kegemarannya. Tiba-tiba Papa berhenti bermain muzik dan terdiam.

“Kami terus menerpa ke arahnya. Kami kemudian hubungi ambulans dan papa menghembuskan nafas terakhir ketika dalam perjalanan ke hospital,” katanya.

Pemergian arwah yang banyak memberi inspirasi kepada dunia perfileman tanah air itu ternyata cukup meninggalkan kesan ke atas Mohd Khalid Amen yang juga pengarah muda.

“Hubungan Papa dengan anak-anak rapat. Bagaimana, orang lihat Papa lucu di luar, begitulah juga karakternya ketika di rumah.

“Setiap hari, ada sahaja jenakanya untuk menghiburkan kami sekeluarga. Gelagat lucunya itulah yang akan kami rindukan selepas ini,” luahnya.

Allahyarham Mamat Khalid atau nama sebenarnya, Mohamad Mohamad Khalid, 58, menghembuskan nafas terakhir ketika dalam perjalanan ke Hospital Slim River, kira-kira pukul 12.30 tengah malam tadi.

 

Allahyarham Mamat meninggalkan balu, Hasmah Hassan dan lima anak. Foto NSTP
Allahyarham Mamat meninggalkan balu, Hasmah Hassan dan lima anak. Foto NSTP

 

Allahyarham meninggalkan balu, Hasmah Hassan dan lima anak.

Selain Mohd Khalid Amen, arwah dan isteri dikurniakan empat anak lain iaitu Mohd Khalid Zaffa, Nor Sara, Mohd Khalid Adam dan Nur Hassanan.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
27,577FollowersFollow
13,813SubscribersSubscribe

Topik Hangat