Oleh Zihan Zari
KUALA LUMPUR – Sehingga 22 September 2026, Tribunal bagi Antibuli (TAB) telah menerima 55 aduan, dengan lima kes telah diputuskan melalui award.
Antara award yang diberikan termasuk permohonan maaf kepada mangsa, penyertaan dalam program kaunseling serta pembayaran ganti rugi sebanyak RM2,000 dalam satu kes, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Dato’ Sri Azalina Othman Said.
“Ini mencerminkan pendekatan TAB yang bukan semata-mata berorientasikan hukuman, tetapi turut menekankan pemulihan mangsa dan pembetulan tingkah laku pelaku.
“Namun, selain kerangka perundangan, keberkesanan langkah ini bergantung kepada keberanian masyarakat untuk bersuara dan bertindak. Mangsa perlu tampil mendapatkan bantuan, manakala mereka yang menyaksikan kejadian buli pula hendaklah berani bersuara kerana buli bukanlah satu gurauan dan ia tidak boleh dinormalisasikan dalam apa jua keadaan, ”katanya.
Katanya lagi, Kerajaan MADANI akan terus memperkukuh usaha pencegahan dan pendidikan serta menjamin mangsa akses kepada perlindungan dan keadilan menerusi sesi literasi sebegini bagi meningkatkan kefahaman mengenai hak mangsa, saluran perlindungan dan tanggungjawab bersama dalam #GenerasiTanpaBuli.
Beliau berkata demikian ketika melancarkan Program Literasi Akta Antibuli 2026 [Akta 876] dan Peranan TAB di Maktab Tentera Diraja (MTD) Sungai Besi, dekat sini pada Rabu.
Turut hadir, Panglima Pendidikan Latihan dan Doktrin Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Leftenan Jeneral Dato’ Mahadzer Amin TUDM; Ketua Pengarah Pengurusan dan Latihan ATM, Brigedier Jeneral Mohd Kamil Hj. Abdul Latiff; Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia, Azhaniz Teh Azman Teh; Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Zamri Misman; Komandan MTD, Jeneral Abdul Aziz Abdul Rahman TUDM; dan Presiden TAB, Nurul Husna Awang.
Terdahulu, Azalina berkata, program ini merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan untuk meningkatkan kefahaman masyarakat, khususnya generasi muda, mengenai perlindungan yang tersedia di bawah Akta 876 serta fungsi dan peranan TAB, termasuk tatacara membuat aduan, proses pendengaran dan bentuk remedi kepada mangsa.
Ujarnya, Akta 876 dan TAB juga menyediakan mekanisme khusus bagi menangani kes buli melalui pendekatan restoratif yang lebih cepat, kos efektif serta memberi penekanan kepada perlindungan dan pemulihan mangsa.
“Ianya selaras dengan komitmen Kerajaan MADANI untuk menangani gejala buli secara serius dan menyeluruh,”ujarnya lagi.
Dalam pada itu, beliau turut memberikan pesanan kepada semua putera MTD jangan sesekali berdiam diri apabila melihat atau mendengar seseorang itu dibuli.
“Hulurkan bantuan, lindungi rakan-rakan dan tampil mendapatkan pertolongan daripada pihak yang boleh membantu. Kepada mereka yang menjadi mangsa pula, jangan takut untuk bersuara dan mendapatkan bantuan. Ini juga adalah salah satu bentuk keberanian.
“Saya berharap agar putera-putera MTD dapat menjadi contoh dalam membina persekitaran yang berdisiplin, selamat dan penuh rasa hormat antara satu sama lain,”katanya. – SUARA.TV



