KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa Kerajaan Perpaduan berusaha menutup mulut orang Melayu dengan memperkenalkan isu 3R (kaum, agama, raja) dan Memorandum Persefahaman (MoU) Peruntukan Pembangkang.
Bekas Perdana Menteri itu juga mendakwa dalam gabungan Kerajaan Perpaduan hari ini, parti DAP mendominasi dengan 40 kerusi Parlimen.
Justeru dakwa Dr Mahathir lagi, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu melayan tuntutan DAP jika ingin kekal sebagai Perdana Menteri.
“Tujuan sebenarnya 3R dan MoU ialah supaya mulut rakyat dan wakil mereka ditutup sehingga tidak boleh kritik kerajaan. Kerajaan Anwar bukan dipilih oleh rakyat. Pakatan Umno dengan Pakatan Harapan (PH) berasaskan kepentingan diri. Sebelum pilihan raya Umno dakwa tidak akan terima Anwar dan DAP. PKR, DAP dan Amanah pula tidak akan terima Umno.
“Tetapi kerana pemimpin Umno mungkin dipenjara dan pemimpin PH tidak mungkin jadi PM, maka parti-parti yang ditolak oleh rakyat ini bergabung untuk jadi kerajaan.
“Jumlah gabungan ialah 112, lebih satu daripada separuh. Maka gabungan ini dapatlah mendirikan kerajaan. Apabila gabungan ini dirikan kerajaan maka parti-parti Sarawak dan Sabah pun menyertai gabungan. Jumlah PH, Umno dan Sarawak, Sabah ialah 144; menjadikan kerajaan memiliki lebih dari dua pertiga wakil rakyat. Memang kuat sekarang,” katanya.
Dr Mahathir yang juga bekas Presiden Umno berkata, memandangkan DAP menjadi parti terkuat dalam gabungan Kerajaan Perpaduan membuatkan Umno dengan wakil rakyat Melayunya agak tidak senang bekerjasama dengan DAP.
“Jika Umno tidak sokong gabungan, Sarawak juga tidak akan sokong. Maka, jika Umno dan Sarawak tidak sokong kerajaan akan jatuh.
“Oleh itu mulut orang Melayu perlu ditutup. Dengan itu diperkenal 3R dan kemudian MoU.
“Tetapi gabungan ini tidak stabil. Wakil rakyat pembangkang jangan tandatangan MoU,” gesa beliau.