Malaysia Mampu Jadi Destinasi Pelancongan Kesihatan Pilihan – MATA

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Tawaran perubatan yang lebih murah di Malaysia berbanding negara jiran seperti Thailand, Korea dan Jepun mampu menarik pelancong untuk memilih negara sebagai destinasi pelancongan melalui Pakej Pelancongan Kesihatan dalam Perubatan Dermatologi dan Estetika.

Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA), Datuk Mohd Khalid Harun berkata, ia mampu menjadi kekuatan kepada sektor pelancongan negara dalam menghadapi persaingan dengan negara-negara jiran yang sudah lama menawarkan pakej pelancongan seumpama itu.

“Saya difahamkan mereka cukup pakar profesional dalam bidang ini. Malah, mereka ini sudah bersedia untuk memberi perkhidmatan baik dan berkualiti.

“Menteri Kesihatan juga mengatakan kita tidak boleh kompromi dengan mutu kualiti perkhidmatan itu, ia setaraf dengan negara maju,” katanya kepada Astro AWANI pada Ahad.

Pada Sabtu, MATA dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya sedia memperhebat pasaran pakej Pelancongan Kesihatan dalam Perubatan Dermatologi dan Estetika untuk menarik lebih ramai pelancong dengan syarat negara menawarkan rawatan yang dijanjikan tanpa berkompromi dengan kualiti serta keberkesanannya.

Dalam masa sama, beliau juga berharap pengamal perubatan dermatologi dan estetika sedia menjalin kerjasama bagi mempromosikan pasaran pakej Pelancongan Kesihatan dalam bidang berkenaan.

Langkah itu katanya bagi mencari pendekatan yang lebih baik dan profesional bagi menjayakan usaha berkenaan secara bersama.

Dalam pada itu, Persatuan Perubatan Estetik Malaysia menyifatkan cadangan MATA sebagai langkah positif memandangkan banyak negara sudah lama melaksanakan pelancongan kesihatan terutama dalam bidang estetik.

Presidennya, Dr Chin Shih Choon berkata, sudah sampai masanya negara meneroka dan meneruskan usaha berkenaan dengan bersungguh-sungguh bagi memastikan aliran mata wang asing ke dalam negara.

Dalam masa sama, beliau yakin pengamal perubatan berkaitan sudah benar-benar bersedia dan mencukupi dalam menjayakan sektor pelancongan kesihatan itu.

“Pengamal perubatan estetika sudah bersedia untuk menerima pelancong dari luar negara. Pakar bedah plastik juga telah lama terima dan merawat pesakit dari luar negara sejak lebih sedekad lalu,” katanya kepada Astro AWANI.

Malah, amalan perubatan estetika di negara ini diyakini telah dikawal dengan baik oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Saya pernah rawat pesakit dari United Kingdom, New Zealand, Australia, China, Singapura, Indonesia dan Singapura. Walau pandemik memperlahan segmen kita sebelum ini, namun ia naik semula sejak pembukaan sempadan.

“Di Malaysia, amalan perubatan estetika juga dikawal dengan baik oleh KKM dan ia turut melibatkan pakar bedah plastik, dermatologi, pengamal perubatan estetik dan pegawai KKM sendiri . Ini bagi memastikan latihan amalan dan pengesahan doktor estetik. Yang paling utama ialah keselamatan pesakit yang dirawat,” ujarnya. – Awani

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat