Oleh Zihan Zari
ROMPIN – Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) telah melabuhkan sebanyak 12 unit tukun tiruan kuboid penghalang pukat tunda di Perairan Pulau Seri Buat dan Pulau Sembilang, Pahang sebagai usaha melindungi habitat marin serta menyediakan kawasan pembiakan bagi sumber perikanan.
Ketua Pengarahnya, Dato’ Hj. Adnan Hussain berkata, pemasangan tukun tiruan ini berperanan sebagai benteng fizikal bagi menghalang pencerobohan pukat tunda haram, di samping membentuk habitat baharu yang merangsang pertumbuhan stok perikanan dan meningkatkan biodiversiti marin.
“Tukun tiruan ini merupakan pelaburan jangka panjang untuk menjamin kelestarian sumber perikanan, memulihkan produktiviti perairan, dan melindungi sumber rezeki komuniti nelayan.
“Ia adalah kesinambungan usaha DOF dalam memastikan sumber perikanan negara kekal mapan untuk generasi akan datang,” katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, inisiatif ini merupakan sebahagian daripada projek tahun 2025 yang dilaksanakan di dua daerah utama di Pahang, iaitu Rompin dan Pekan.
Pelaksanaan di perairan Rompin melibatkan tukun tiruan yang dilabuhkan di dua kawasan strategik sekitar Pulau Seri Buat dan Pulau Sembilang.
Menurutnya lagi, projek ini menelan kos RM366,750.00 melalui peruntukan pembangunan Rolling Plan Kelima (RP5) Tahun 2025, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
“Rekod jabatan menunjukkan dari 2020 hingga 2025, Pahang telah menerima sebanyak 53 unit tukun tiruan melibatkan kos keseluruhan RM2.03 juta.
“Secara keseluruhan, sejak 2007 sebanyak 244 unit tukun tiruan telah dilabuhkan di perairan negeri ini, meliputi lokasi seperti Rompin, Pekan, Kuantan, Pulau Tioman, Cherating, Cherok Paloh dan Nenas, ”katanya lagi.
Ujarnya, selain di Rompin, 12 unit tukun tiruan kuboid lagi akan dilabuhkan di Perairan Pulau Berhala, Pekan, pada Oktober ini.
Projek ini bernilai RM372,890.00 dibiayai melalui peruntukan
Ecological Fiscal Transfer (EFT), dan dijangka memperluas jaringan kawasan perlindungan marin di Pahang, sekali gus meningkatkan stok perikanan dan daya tahan ekosistem laut.
“Pelaksanaan projek tukun tiruan ini diharap dapat meningkatkan stok perikanan, memulihkan kawasan habitat marin yang terjejas, serta memberi manfaat berterusan kepada komuniti nelayan setempat.
“DOF akan terus melaksanakan langkah-langkah pengurusan dan pemuliharaan yang berkesan bagi memastikan sumber perikanan negara kekal lestari untuk masa hadapan, ”ujarnya lagi.-SUARA.TV



