Penyanyi yang sedang melonjak naik, P.Radhi, kembali mencuri tumpuan dunia seni dengan kemunculan single terbarunya, “Gadis Chantek”. Lagu ini bukan sahaja menampilkan keunikan suara P.Radhi yang sering dibandingkan dengan lagenda Tan Sri P. Ramlee, tetapi juga membawa elemen moden klasik yang segar, hasil tangan komposer terkenal, Dato’ M.Nasir.
Lagu “Gadis Chantek” menceritakan kisah cinta yang klasik tetapi relevan—seorang lelaki yang jatuh hati dengan kejelitaan seorang gadis sehingga menyebabkan dirinya terbuai dalam lamunan. Dato’ M.Nasir, yang pernah mencipta banyak lagu hits, kali ini memilih untuk menyuntik unsur moden klasik ke dalam karya terbarunya, yang mana sesuai dengan aura P.Radhi yang dianggap sebagai pewaris gaya P. Ramlee dalam era kontemporari.
Dalam satu sidang media baru-baru ini, P.Radhi berkongsi rasa syukur dan kegembiraannya atas peluang ini. “Saya rasa sangat beruntung dapat merakamkan lagu ciptaan Dato’ M.Nasir. Pada mulanya, kami berbincang untuk menghasilkan sebuah lagu ballad, tetapi akhirnya kami memilih untuk menambah elemen yang lebih rancak, sesuai dengan personaliti saya,” ujarnya dengan senyuman yang tidak dapat disembunyikan.
Bagi Dato’ M.Nasir pula, kolaborasi ini adalah sesuatu yang istimewa. “Radhi membawa satu nafas baru dalam industri muzik kita. Dia seorang peminat tegar P. Ramlee, dan melalui lagu ini, dia dapat mengekspresikan penghormatannya kepada legasi besar itu. Namun, yang lebih penting, Radhi berjaya memberikan sentuhan peribadi yang menjadikan lagu ini benar-benar miliknya,” katanya.
Penerbitan “Gadis Chantek” ini tidak hanya menambah satu lagi lagu dalam senarai karya P.Radhi, tetapi juga menegaskan bahawa gaya moden klasik masih relevan dalam industri muzik hari ini. Luncai Emas, label rakaman yang menerbitkan lagu ini, berharap agar lagu ini dapat diterima dengan baik oleh para peminat muzik tempatan.
Selain itu, P.Radhi juga menzahirkan rasa terima kasihnya kepada Dato’ M.Nasir dan Luncai Emas atas usaha dan kepercayaan yang diberikan kepadanya. “Bekerja dengan seorang lagenda seperti Dato’ M.Nasir adalah sesuatu yang luar biasa, dan saya sangat bersyukur atas pengalaman ini. Saya hanya menerima dan mempersembahkan yang terbaik dari karya yang diberikan,” katanya dengan penuh rasa rendah diri.
Peminat kini boleh menonton video muzik “Gadis Chantek” di saluran YouTube Luncai Emas dan menikmatinya di semua platform penstriman digital. Lagu ini dijangka menjadi hit, mengukuhkan lagi kedudukan P.Radhi sebagai artis yang membawa identiti unik dalam industri muzik Malaysia.
Pastinya, “Gadis Chantek” bukan sekadar sebuah lagu, tetapi satu simbolik kepada penghargaan terhadap legasi muzik yang tidak lapuk dek zaman. Peminat muzik tanah air, jangan lepaskan peluang untuk mendengar karya terbaharu dari P.Radhi yang dijangka akan membangkitkan nostalgia serta mencipta memori baru dalam dunia hiburan.