KUALA LUMPUR – Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) Datuk Zaid Ibrahim mempersoalkan keberanian Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membenarkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat ahli perniagaan yang juga bekas Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri Datuk Farhash Wafa Salvador.
Kata Zaid, Anwar sebelum ini pernah menggambarkan Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki sebagai seorang lelaki yang sangat berani, tetapi adakah Anwar berani -untuk membenarkan SPRM menyiasat Farhash?
“(Datuk Seri) Rafizi Ramli telah mendesak SPRM untuk menyiasat penglibatan Farhash Salvador dalam perlombongan arang batu di Sabah.
“Ini (Farhash) adalah pemuda ikonik yang paling terkenal di kalangan ‘leftenan’ Anwar, yang menggabungkan lima syarikat tersenarai dalam tempoh 2 tahun yang lalu.
“Orang ramai berkata dia juga berada di belakang kontrak Autogate bernilai bilion dolar dan banyak lagi. Jika Rafizi lebih serius tentang seruannya kepada SPRM, saya akan menyokongnya,” ujar Zaid dalam catatan di Facebooknya pada Jumaat.
Pun begitu Zaid melahirkan keraguannya kerana baru minggu lepas Rafizi berkata Anwar harus kekal sebagai Perdana Menteri dan memberikan undi kepercayaannya.
“Adakah dia menjangka Anwar akan membenarkan siasatan lengkap dan menyeluruh terhadap Farhash sedangkan dia tidak akan berbuat demikian terhadap (Datuk Seri) Hajiji/GRS, LRT Pulau Pinang, LCS, dan beberapa perkara lain bernilai bilion dolar?
“Sudah tentu, Anwar telah menggambarkan Azam Baki sebagai seorang lelaki yang sangat berani, tetapi adakah Anwar berani?
“Rafizi, jika anda turun ke Dataran Merdeka esok, saya percaya anda,” kata Zaid.
Sebelum itu, Rafizi melahirkan kebimbangan susulan kontroversi demi kontroversi yang ditimbulkan dan dikaitkan dengan Farhash Wafa Salvador.
Beliau mendesak isu perlu ditangani segera dan penafian mentah tidak lagi akan diterima oleh rakyat.
Justeru bekas Menteri Ekonomi itu berharap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memandang kontroversi ini dengan serius.
“Sejak Anwar menjadi Perdana Menteri, Farhash tiba-tiba melonjak menjadi seorang niagawan yang ligat dan mula mempunyai kepentingan dari satu syarikat ke satu syarikat.
“Maklumat-maklumat yang didedahkan setakat ini sudah cukup untuk membolehkan SPRM membuka kertas siasatan terhadap Farhash, seperti mana kertas siasatan dibuka terhadap tokoh-tokoh lain yang dituduh menjadi kaya secara tiba-tiba.
“Bila ada konsistensi sebegini, barulah lebih ramai rakyat yang lebih yakin dengan usaha kerajaan membanteras rasuah.
“Jika tidak, bukan sahaja usaha-usaha ini tidak membuahkan hasil yang dikehendaki dan diterjemahkan kepada kedudukan CPI negara yang lebih baik, saya khuatir beban Farhash ini akan mengheret PKR dan PH dalam pilihan raya yang akan datang,” desak beliau.
Ahli Parlimen Pandan itu menyatakan ini bukan kali pertama Farhash disabitkan dengan pelbagai urusniaga yang mengundang kontroversi.



