Presiden Filipina Marcos Jr Tiba Di Malaysia Untuk Lawatan Negara Tiga Hari

- Advertisement -

SEPANG – Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr hari ini tiba untuk lawatan negara selama tiga hari ke Malaysia sehingga Khamis ini, yang merupakan kunjungan sulungnya ke negara ini.

Pesawat khas yang membawa Marcos, Wanita Pertama Louise Araneta-Marcos dan delegasi selamat mendarat di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini pada pukul 5 petang.

Ketibaan Presiden Filipina itu disambut Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang, Duta Besar Malaysia ke Filipina Datuk Abdul Malik Melvin Castelino Anthony dan Duta Filipina ke Malaysia Charles C. Jose.

Marcos kemudian memeriksa barisan kehormat terdiri daripada 28 pegawai dan anggota daripada Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (1RRD) diketuai Kapten Muhammad Nur Zhafran Ahamad.

Presiden Filipina itu akan diberikan sambutan negara oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara esok.

Kemudian, Marcos akan menghadap Al-Sultan Abdullah sebelum beliau dan delegasinya diraikan dalam satu Majlis Santapan Negara.

Presiden Filipina itu dijadualkan bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Putrajaya dengan kedua-dua pemimpin dijangka bertukar-tukar pandangan mengenai isu dua hala, serantau dan isu antarabangsa yang menyentuh kepentingan bersama.

Marcos dijangka menemui pemimpin-pemimpin perniagaan di Malaysia untuk meneroka potensi pelaburan dan lain-lain peluang ekonomi.

Lawatan ini menggambarkan jalinan persahabatan dan hubungan erat antara kedua-dua negara selaku jiran rapat dan rakan kongsi dalam ASEAN, termasuk menerusi pertukaran lawatan di peringkat tinggi seperti lawatan rasmi Anwar ke Manila pada Mac tahun ini.

Pada tahun lepas, Filipina merupakan rakan dagang ke-15 terbesar Malaysia di peringkat global dan kelima terbesar dalam kalangan negara anggota ASEAN dengan jumlah dagangan mencecah RM41.45 bilion (US$9.42 bilion), peningkatan sebanyak 20.1 peratus daripada jumlah dagangan dalam 2021. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat