Eastcoast Rallying dan X-One Motorsports satukan kekuatan, sasar dominasi Rali Melaka 2026

ALOR GAJAH, MELAKA – Arena rali tempatan bakal menyaksikan satu lagi episod menarik apabila kerjasama antara Eastcoast Rallying dan X-One Motorsports bukan sahaja hadir dengan misi memburu kemenangan, malah dilihat sebagai simbol kebangkitan serta pengukuhan ekosistem sukan rali negara.

Menjelang saingan Rali Melaka Milleenium Iconic Rally 2026 yang akan membuka tirai musim perlumbaan hujung minggu ini di Felda Tun Ghafar, Alor Gajah, perhatian kini terarah kepada gabungan dua pasukan berpengaruh itu yang memilih untuk berganding bahu dalam usaha mengangkat tahap persaingan rali tempatan ke satu dimensi baharu.

Dalam suasana sukan permotoran yang semakin mencabar, kolaborasi strategik antara Eastcoast Rallying dan X-One Motorsports dilihat melangkaui sasaran podium semata-mata. Sebaliknya, ia membawa mesej bahawa perkongsian kepakaran, teknologi dan pengalaman mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan sukan rali negara yang memerlukan lebih banyak pasukan kompetitif.

Bagi Ketua Pasukan Eastcoast Rallying, Ir. Ts. Muhammad Syakirin Razaki, kerjasama tersebut hadir tepat pada masanya ketika persaingan kategori pacuan empat roda (4WD) semakin sengit dengan peningkatan jumlah penyertaan musim ini.

Menurut beliau, pengalaman luas yang dimiliki X-One Motorsports dalam saingan tempatan dan antarabangsa membuka ruang kepada kedua-dua pasukan untuk saling melengkapi dalam aspek teknikal serta strategi perlumbaan.

“Kerjasama ini bukan sekadar untuk menyertai perlumbaan, tetapi lebih kepada usaha membina sebuah pasukan yang lebih mantap dan berdaya saing. Pertukaran teknologi serta kepakaran antara dua pasukan memberi manfaat besar kepada kedua-dua pihak,” katanya.

Beliau yang mula aktif dalam arena rali sejak 2017 turut berpandangan bahawa peningkatan penyertaan dalam kategori 4WD bakal menjadikan Rali Melaka kali ini antara perlumbaan paling kompetitif dalam beberapa musim kebelakangan ini.

Sementara itu, Ketua Pasukan X-One Motorsports, Roduwan Rashid, yang juga merupakan dua kali juara rali kebangsaan, menyifatkan musim 2026 sebagai platform terbaik untuk kembali mencabar kejuaraan selepas beberapa tahun berdepan pelbagai kekangan susulan pandemik COVID-19.

Menurut Roduwan, kerjasama yang terjalin bersama Eastcoast Rallying memberi suntikan baharu kepada pasukannya untuk kembali bersaing di kelompok hadapan.

“Kami melihat gabungan ini sebagai peluang terbaik untuk memulakan musim dengan langkah kanan. Selepas beberapa tahun tidak beraksi secara konsisten, kami mahu kembali memberikan saingan sengit dan pada masa sama berkongsi pengalaman demi memajukan sukan ini,” katanya.

Lebih menarik, jentera Subaru Impreza WRX yang bakal menjadi taruhan gabungan Eastcoast Rallying–X-One Motorsports dijangka menjadi antara tumpuan utama sepanjang perlumbaan berlangsung. Keupayaan jentera berkenaan di permukaan gravel sememangnya tidak perlu dipersoalkan, sekali gus meletakkan pasukan itu sebagai antara pencabar utama kejuaraan.

Rali Melaka – Milleenium Iconic Rally 2026 yang berlangsung selama dua hari bermula Sabtu ini menghimpunkan 22 pasukan dari seluruh negara. Dengan laluan mencabar di Felda Tun Ghafar, Alor Gajah menanti para peserta, saingan kali ini dijangka menyajikan aksi penuh dramatik, debu berterbangan dan pertarungan sengit hingga ke garisan penamat pada 28 Jun nanti.

Di sebalik deruman enjin dan percikan adrenalin, kerjasama antara Eastcoast Rallying dan X-One Motorsports membuktikan bahawa dalam dunia rali, kejayaan bukan sekadar bergantung kepada kelajuan semata-mata, tetapi juga lahir daripada semangat kerjasama, kepercayaan dan visi yang dikongsi bersama.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat