KUALA LUMPUR – Tiga peserta himpunan Gempur Rasuah Sabah 2.0 yang ditahan polis dibebaskan malam tadi.
Ketua Polis Kota Kinabalu Kasim Muda berkata, ketiga-tiganya dibebaskan dengan jaminan polis kira-kira 8 malam Selasa.
“Pada peringkat awal kita ambil kenyataan berkaitan kes khianat dan tiada tangkapan dibuat.
“Selepas 1 tengah hari, barulah tangkapan dilakukan bersabit kes hasutan dan pembakaran,” katanya menurut Sinar Harian susulan dakwaan Suara Mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) bahawa polis menafikan penahanan itu.
Kasim turut menafikan dakwaan pihak berkuasa bertindak agresif.
Terdahulu, Sekretariat Perhimpunan Aman Gempur Rasuah Sabah 2.0 mendakwa koordinatornya, Fadhil Kassim dan Aliff Danial bersama aktivis, Sabir Syarifuddin ditahan di IPD Kota Kinabalu semalam.
Mereka mendakwa polis bertindak agresif sebelum ditahan mengikut Seksyen 4 Akta Hasutan.
Suara Mahasiswa menyifatkan penafian Kasim berhubung penahanan dua mahasiswa sebagai mengelirukan orang ramai.
Lebih 100 peserta menyertai perhimpunan Gempur Rasuah Sabah 2.0 di Kota Kinabalu yang dilaporkan bermula kira-kira 1 tengah hari Sabtu dan berterusan sehingga 11 pagi Ahad lalu.
Perhimpunan itu diadakan bagi menggesa tindakan diambil terhadap Jabatan Air Sabah, tetapi ia berakhir dengan pembakaran karikatur Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.