Demi Rakyat, Tok Pa Dan Kian Ming Sedia ‘Minum Kopi’ Bersama

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Sudah berapa lama kita rakyat mendambakan politik yang harmoni di mana kerajaan dan pembangkang saling berganding bahu membina negara yang kukuh dan gah, tidak lagi bertikam lidah hal remeh dan dangkal.

Akhirnya sinar harapan itu mula kelihatan, apabila tiga panel berlainan kedudukan dipertemukan dalam Dialog Tiga Penjuru di Astro AWANI pada Khamis.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed mewakili kerajaan; Ahli Parlimen Bangi, Dr Ong Kian Ming dari sayap pembangkang; dan Ketua Ekonomi Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan PERKESO, Prof. Madya Dr. Mohd Yusof Saari, sebagai pegawai perkhidmatan awam, berbincang di bawah tajuk dialog kali ini, Selamatkan Poket Rakyat.

Tok Pa memaklumkan kerajaan sedang mengumpul maklum balas daripada pelbagai pihak untuk merangka pelan pemulihan khusus kepada ekonomi yang katanya akan diumumkan oleh Menteri Kewangan dalam masa terdekat.

“Saya nak maklumkan yang memang kita dengar dan kita sampaikan kepada semua pihak yang bertanggungjawab tentang moratorium, bantuan yang tak cukup, subsidi upah serta perlunya sektor pelancongan diberi perhatian lebih.

“Ini semua maklum balas sedang dikumpulkan oleh kerajaan, jadi kita tunggulah,” katanya.

Kemudian Kian Ming mencelah, bertanyakan kenapa pihak kerajaan tidak menjemput dirinya menjadi salah seorang daripada panelis atau perunding dalam Majlis Tindakan Ekonomi yang merancang segala keperluan ketika ini.

“Kalau tak silap, Perdana Menteri pun kata mungkin nak jemput wakil daripada pembangkang untuk memberi pendapat atau menjadi ahli.

“Saya rasa saya ada sedikit kelayakan lah, kenapa tidak?,” ujarnya.

Tanpa teragak-agak, Tok Pa pantas menjawab:

“YB ini kawan lama juga. Boleh, tak ada masalah. Boleh ‘minum kopi’ macam dulu-dulu.”

Pada masa ini, apa yang diperlukan adalah semua orang tidak kira siapa harus bersama. Ini perlu dimulakan oleh para pemimpin masyarakat supaya diteladani oleh rakyat yang sentiasa memerhati dan menilai mereka.

Dalam sesi yang berlangsung secara maya itu, peluang berkongsi pentas yang sama cukup dimanfaatkan oleh Kian Ming apabila mengutarakan beberapa cadangan untuk diambil maklum dan dipertimbangkan kerajaan.

Antaranya, beliau mencadangkan supaya setiap kementerian sepatutnya merangka dan mengumumkan pelan komprehensif untuk memulihkan ekonomi komponen dalam bidang yang berada di bawah jagaan masing-masing.

“Seperti sektor perumahan adalah tanggungjawab Kementerian Kerja Raya, hotel dan resort tanggungjawab Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan dan sebagainya.

Juga beliau menawarkan khidmatnya untuk usaha itu.

“Sebagai seorang konsultan, saya menawarkan perkhidmatan saya pro-bono, free of charge, tak payah bayar satu sen pun pada saya. Mungkin Tok Pa boleh beli kopi untuk saya.

“Saya sudi menjadi konsultan pro-bono kepada mana-mana kementerian yang mahu pendapat saya untuk disalurkan kepada mereka bagi membuat pelan pemulihan negara.

“Tak payah bayar konsultan yang berjuta-juta ringgit itu, saya dan pasukan saya boleh buat,” katanya.

Apa jawab Tok Pa? Tonton sesi penuh Dialog Tiga Penjuru: Selamatkan Poket Rakyat dihoskan oleh Luqman Hariz.

– Astro Awani

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat