MY-AI, portal nasional pertama sumber rujukan pengetahuan & pembangunan AI

- Advertisement -

Oleh: Zihan Zari

KUALA LUMPUR – MY-AI adalah portal nasional pertama dalam talian mengenai isu-isu kecerdasan buatan atau artificial intelligence (AI) yang yang dibangunkan, dihoskan dan diselenggara oleh MIMOS, agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Langkah strategik dalam menyediakan sumber High-Performance Computing (HPC) merangkumi pautan kepada sumber pengetahuan, program latihan, alatan bantu (tools), saluran maklum balas untuk AI.

Ianya selaras dengan dasar dan aspirasi kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara digital.

Timbalan Menterinya, Dato’ Hj. Mohammad Yusof Apdal berkata demikian ketika menyempurnakan peluncuran Portal MY-AI di Auditorium Dr. Tengku Mohd Azzman Sharifadeen, MIMOS Berhad pada Jumaat.

Beliau berkata, portal ini diwujudkan susulan hasrat Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada 10 Mei lalu ketika meluncurkan Malaysia AI Nexus, mahukan MOSTI menjadi sumber rujukan utama untuk pengetahuan dan pembangunan AI di negara ini.

MY-AI menyediakan pautan kepada sumber pengetahuan, program latihan, alatan bantu (tools), saluran maklum balas serta pautan kepada Penyedia Cloud Service (CSP) bagi pengguna yang memerlukan perkhidmatan tersebut.

Menurutnya, MIMOS akan bekerjasama dengan rakan industri dan institusi akademik untuk menubuhkan dan menyediakan HPC bagi pelajar, memastikan penggunaan produktif mereka melalui sistem yang tersusun.

AI menjanjikan peningkatan yang besar kepada produktiviti dan pertumbuhan
KDNK merentas sektor di seluruh dunia.

Unjuran daripada Pricewaterhouse Coopers (PwC) dan Institusi Kajian Global McKinsey menunjukkan bahawa AI boleh menyumbang sehingga $15.7 trilion dan $13 trilion kepada ekonomi global menjelang 2030, dipacu oleh peningkatan produktiviti dan kesan sampingan penggunaan.

Teknologi automasi dan machine learning dalam AI dijangka dapat meningkatkan produktiviti meningkatkan produktiviti tenaga kerja sehingga 40% menjelang 2035.

“Selain itu, AI merentasi pelbagai sektor seperti pembuatan, penjagaan kesihatan, dan retail, menawarkan penjimatan kos, penambahbaikan proses dan pengalaman pelanggan yang lebih baik.

“Walaupun kebimbangan tentang penggantian pekerja masih wujud, peluang pekerjaan baru berkaitan AI dijangka dapat menyeimbangkan kerugian, dengan unjuran sebanyak 97 juta peluang pekerjaan menjelang 2025, walaupun terdapat penggantian sebanyak 85 juta pekerjaan seperti yang dinyatakan oleh World Economic Forum.

“Portal ini akan menjadi pusat rujukan utama bagi penyelidik, pelajar dan cendekia profesional dalam bidang AI, menyediakan akses kepada sumber pengetahuan, alatan bantu serta program latihan terkini,” katanya.

Pengguna boleh memilih kategori yang disediakan antaranya Platform Open Science Malaysia oleh Akademi Sains Malaysia (ASM) dan KRSTE.MY yang merupakan platform kerjasama pintar pengurusan pengetahuan mengenai Sains Teknologi dan Inovasi (STI) oleh MOSTI.

Selain itu, HPC cloud tools dan senarai pusat HPC yang terdapat di Malaysia dan AI Resources menyediakan pautan kepada alatan pembangunan AI (AI development tools) yang percuma, set data serta model-model latihan serta aplikasi AI melalui program pemula (Starter Kit), ”katanya lagi.

Ujarnya, berdasarkan data KRISTE.my, portal ini dijangka akan dimanfaatkan oleh 2,368 penyelidik daripada pelbagai sektor bidang STI dengan menggunakan kombinasi 34 sumber HPC yang terdiri daripada cloud tools, HPC center, development tools dan datasets.

Dengan menggunakan sumber HPC, pembangunan aplikasi AI dapat dilakukan dengan lebih cekap dan berkesan, membolehkan pemprosesan data yang besar dan kompleks dilakukan dengan pantas.

Ini memberikan kelebihan tambahan kepada pembangun untuk menghasilkan aplikasi AI yang lebih canggih dan berkualiti tinggi.

Dengan demikian, integrasi sumber HPC dalam pembangunan aplikasi AI memberi manfaat yang besar dalam menggerakkan inovasi dan kemajuan dalam bidang kecerdasan buatan.

“Melalui penyediaan pautan kepada sumber pengetahuan dan program latihan, portal ini akan membantu membina dan mengembangkan bakat masa depan dalam bidang AI, memastikan Malaysia mempunyai tenaga kerja yang kompeten dan berdaya saing di peringkat global.

“Alat bantu dan perkhidmatan HPC yang disediakan akan mempercepatkan proses penyelidikan dan pembangunan, membolehkan para inovator dan industri untuk menguji dan mengaplikasikan teknologi AI dengan lebih cekap,” ujarnya lagi.

Tambahnya, portal ini sebahagian daripada pelan tindakan dan roadmap digital negara, termasuk Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL) dan Pelan Strategik AI Nasional.

MOSTI sedang membangunkan Garis Panduan Tadbir Urus dan Etika AI (AIGE) membantu memaklumkan penggubal dasar tentang potensi risiko dan faedah teknologi AI di samping membantu mereka mencipta tadbir urus dan peraturan yang berkesan untuk memastikan keselamatan serta kebajikan awam.

“Usaha ini selari dengan nilai ekonomi MADANI untuk meningkatkan taraf hidup rakyat yang menyokong pertumbuhan industri berteraskan digital dan inovasi bakal membuka lebih banyak peluang pekerjaan di samping membangunkan kemahiran tenaga kerja tempatan.

“Penggunaan AI turut berperanan membina masa depan teknologi dan ekonomi Malaysia serta peneraju inovasi AI di rantau ini malah di peringkat antarabangsa,” tambahnya lagi.

Portal MY-AI boleh di layari di https://my-ai.my

Turut hadir, Ketua Setiausaha MOSTI, Dato’ Ts. Dr. Hj. Aminuddin Hassim; TKSU MOSTI (Pembangunan Teknologi), Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman Hassan dan Pemangku Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif MIMOS Berhad, Dr. Saat Shukri Embong. – Suara.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat